MAKAF rancang bina akademi perkasa karate

NUR AZMI FOTO: AGENSI
NUR AZMI FOTO: AGENSI
A
A
A

PENCAPAIAN memberangsangkan skuad karate negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 mendorong Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) merancang membuka akademi di seluruh negara bagi mengenal pasti atlet pelapis.

Susulan menyumbang sebutir emas dan dua perak pada edisi ke-19 di sini, MAKAF mahu mengekalkan kesinambungan prestasi atlet negara pada edisi seterusnya dengan mencungkil bakat baharu menerusi program pembangunan.

Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pihaknya bercadang membuka akademi untuk memberi peluang kepada bekas atlet negara membantu mencari atlet pelapis untuk diserapkan dalam kem kebangsaan.

Malah kata Nur Azmi, pihaknya merancang untuk mengendalikan akademi tersebut di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita akan bawa bekas atlet yang pernah meraih pingat untuk terus menabur bakti dalam karate di peringkat pembangunan bagi mempersiapkan barisan pelapis untuk mengambil tempat mereka supaya kecemerlangan itu diteruskan.

“Saya percaya ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 nanti, kita ada atlet yang lebih muda dan berwibawa untuk menyumbang pingat kepada negara,” katanya.

Tambah Nur Azmi, kejayaan kem karate mengakhiri kemarau emas sembilan tahun di Sukan Asia adalah hasil kerja keras dan komitmen atlet, jurulatih dan pengurusan, selain latihan luar negara yang meningkatkan prestasi karate.

“Sokongan kerajaan juga dapat menyumbangkan pingat untuk kontinjen negara. Harap ini beri semangat kepada pasukan kita untuk kejayaan lebih baik selepas ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pingat emas sulung kem karate di Hangzhou diperolehi menerusi Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (kumite bawah 84kg lelaki), manakala dua perak hadir menerusi Lovelly Anne Robberth (Kata individu wanita) dan trio Lovelly, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil (Kata berpasukan wanita).

Kali terakhir karate negara meraih emas Sukan Asia adalah pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, menerusi Lim Chee Wei (Kata lelaki) dan Syakilla Salni Jefry Krisnan (Kumite 61kg wanita).

Pencapaian terbaik Malaysia sejak karate dipertandingkan di Sukan Asia 1994, adalah kejayaan meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa pada edisi 2010 di Guangzhou, China. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!