Hangzhou 2022: Pencapaian kontinjen Malaysia memuaskan

Kim Fatt (tengah) semasa sidang akhbar prestasi keseluruhan kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Ahad.
Kim Fatt (tengah) semasa sidang akhbar prestasi keseluruhan kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Ahad.
A
A
A

KERJA keras secara senyap-senyap menyaksikan kontinjen negara bangkit memahat pencapaian yang boleh dibanggakan pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas merekodkan pencapaian terburuk pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Kontinjen Malaysia yang dibarisi 288 atlet dan diketuai Datuk Chong Kim Fatt selaku ketua kontinjen berjaya mengharungi cabaran getir meraih enam emas, lapan perak serta 18 gangsa atau keseluruhan 32 pingat untuk mengatasi sasaran 27 pingat, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-14.

Namun, dari segi kutipan pingat pada edisi ke-19 temasya sukan itu, ia sedikit kurang berbanding edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia (36) dan edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan (33) serta jauh berbanding 41 pingat yang diraih pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Pada edisi kali ini, sebanyak 13 jenis sukan iaitu terjun, badminton, berbasikal trek, e-sukan, ekuestrian, gimnastik artistik, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy dan wushu menjadi penyumbang pingat.

Hanya sukan hoki yang merupakan antara 13 sukan menjadi sandaran pingat gagal menepati jangkaan, sekali gus menempah laluan sukar dalam melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan kehilangan pingat daripada mereka diganti oleh gimnastik artistik.

Berdasarkan statistik, sebanyak 13 jenis sukan yang menghadiahkan pingat itu menunjukkan kemajuan yang baik berbanding edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia (12 sukan) dan 2014 di Incheon, Korea Selatan yang melibatkan 10 sukan sebagai penyumbang pingat.

Pada masa sama, tujuh jenis sukan Olimpik telah menyumbang 18 pingat terdiri daripada terjun yang menyumbang lima pingat, berbasikal trek (empat), olahraga (tiga), pelayaran (tiga), manakala badminton, ekuestrian dan gimnastik artistik, masing-masing satu pingat.

Jika dibandingkan dengan Sukan Asia 2018, hanya empat sukan Olimpik telah menyumbang pingat iaitu ekuestrian satu pingat, pelayaran (tiga), terjun (empat) dan berbasikal trek merangkul tiga pingat.Enam sukan yang mencapai taraf cemerlang pada edisi kali ini ialah skuasy (tiga emas, satu perak dan satu gangsa), karate (satu emas dan dua perak), terjun (satu perak dan empat gangsa), e-sukan (satu perak dan satu gangsa), berbasikal trek (empat gangsa) dan ekuestrian (satu emas).

Artikel Berkaitan:

Beberapa atlet negara juga telah mempamerkan prestasi luar biasa, antaranya pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari yang membolot emas berganda menerusi acara berpasukan dan perseorangan serta atlet ekuestrian, Qabil Ambak Muhamad Fathil yang memenangi emas pertama Malaysia dalam sukan itu melalui acara individu dressage.

Selain itu, atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif telah memenangi pingat emas dalam acara ILCA 6 dan melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024, manakala kejayaan Muhamad Arif Affifudin Ab Malik meraih emas Kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) menamatkan penantian 13 tahun sukan karate untuk memenangi emas.

Dua atlet olahraga berpangkalan di Amerika Syarikat, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy turut mencuri perhatian dengan kejayaan merangkul gangsa masing-masing dalam acara 100 meter (m) lelaki dan 400m wanita, selain Shereen turut membantu kuartet 4x100m wanita meraih gangsa.

Gimnas, Muhammad Sharul Aimy juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi pingat gangsa dalam acara melombol, sementara pasukan pecut wanita berbasikal trek turut melakar sejarah apabila buat pertama kali memenangi pingat dalam acara tersebut.

Seramai 44 orang atlet yang pertama kali bertanding di Sukan Asia cemerlang apabila memenangi keseluruhan 21 pingat, manakala seramai 19 atlet yang memenangi pingat di Sukan SEA Kemboja juga telah memenangi 10 pingat di sini.

Sebanyak dua rekod kebangsaan telah dicipta, masing-masing oleh Syaqiera Mashayikh dalam memanah acara recurve individu wanita apabila meraih 336 mata untuk memadam rekod lama 330 mata dan skuad berbasikal trek wanita dalam acara pecut berpasukan selepas memadam catatan lama 49.204 saat (s) dengan rekod baharu 49.025s.

Sementara itu, jika dibandingkan dengan prestasi negara-negara Asia Tenggara, Malaysia menamatkan saingan di Sukan Asia dalam kelompok tiga terbaik di belakang Thailand yang meraih 12 emas, 14 perak dan 32 gangsa serta Indonesia (7-11-18).

Juara bertahan China mengekalkan dominasi selaku kuasa besar Sukan Asia sejak edisi 1982 di New Delhi apabila mengumpul 201-111-71 diikuti Jepun (52-67-69) dan Korea Selatan ketiga dengan 42-59-89.

Walaupun pencapaian atlet negara kali ini boleh dikatakan membanggakan, pemegang taruh sukan seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan kebangsaan perlu menggandakan usaha untuk memastikan graf pencapaian itu terus meningkat.

Kim Fatt berkata, keputusan di Hangzhou adalah cerminan kepada senario sukan negara hari ini, sekali gus mengharapkan perhatian lebih dapat diberikan selepas ini.

“Seandainya beberapa sukan dapat diperkasakan dengan suntikan dana dan sokongan material serta moral daripada kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN serta ISN, kontinjen negara mampu untuk beri saingan bermutu tinggi dan dominan dalam disiplin tertentu,” katanya pada sidang akhbar rumusan prestasi kontinjen negara pada Ahad.

Semoga Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dapat menyaksikan lebih banyak kejayaan dan menghadirkan berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada barisan atlet dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!