Terima saja gelaran Datuk atau tolak dengan baik - Teck Lee

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A
KOTA KINABALU - Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee menasihatkan dua pemimpin DAP Sabah supaya menerima penganugerahan Datuk dengan penuh syukur tanpa perlu memikirkan apa yang diperkatakan oleh kepimpinan parti itu yang berpusat di Semenanjung.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Sabah itu turut berkata, jika mahu menolak gelaran yang dianugerahkan, mereka juga boleh menjelaskannya dengan baik kepada Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sabah seperti yang pernah dilakukannya dulu.

"Saya berasa terhibur dengan pemimpin DAP Sabah, Chan Foong Hin dan Phoong Jin Zhe yang seolah-olah berpura-pura tidak berdaya dalam menerima Darjah Hari Keputeraan Yang Di-Pertua Negeri Sabah (TYT) sebagai Datuk seolah-olah anugerah yang dihormati itu dipaksakan kepada mereka pada saat-saat akhir.

"Nasihat saya kepada pemimpin DAP Sabah supaya menerima anugerah itu dengan penuh rasa syukur tanpa perlu memikirkan apa yang diperkatakan oleh tuan mereka di Malaya (Semenanjung).



"Jika mereka benar-benar tidak dapat menerima anugerah atas sebab apa pun, maka apa yang mereka perlu dilakukan ialah menjelaskan secara sopan kepada Ketua Menteri dan TYT bahawa mereka tidak bermaksud untuk tidak menghormati TYT atau tidak berterima kasih kepada Ketua Menteri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau lagi, penolakan darjah kebesaran tertinggi di Sabah itu pernah dilakukannya dan sekali gus namanya dikeluarkan dari senarai walaupun buku program istana telahpun dicetak.

"Saya bercakap daripada pengalaman peribadi sendiri. Sehari sebelum hari lahir TYT (pada 16 September 2000), saya memaklumkan kepada Ketua Menteri ketika itu (Tan Sri Osu Sukam) dan kemudian TYT (Tun Sakaran Dandai) bahawa saya menolak penganugerahan Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) atas sebab-sebab yang saya maklumkan kepada Ketua Menteri dan TYT.

"Oleh itu, nama saya telah dikeluarkan daripada senarai untuk diwartakan (gazet) walaupun buku program Istana untuk raptai telah pun dicetak," jelasnya.

Pada Sabtu lalu, Foong Hin yang juga Ketua Biro Dasar DAP Sabah merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Jin Zhe yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah telah dianugerahkan darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Lahir Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Bagaimanapun, dasar parti mereka pula terdapat polisi yang diamalkan sejak 2018 bahawa tidak membenarkan ahlinya menerima penganugerahan pingat.
Artikel Berkaitan: