Bekalan mencukupi sepanjang musim perayaan
PUTRAJAYA - Bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, telur, ikan, kelapa, sayur-sayuran dan buah-buahan sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna sepanjang musim perayaan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama erat dalam memastikan bekalan mencukupi.
Menurutnya, kedua-dua kementerian itu juga akan memastikan bahan makanan dijual dengan harga berpatutan sepanjang musim perayaan.
“Bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan, kementerian akan menganjurkan jualan Jimat Belanja Aidilfitri di Pasar Tani lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara.
“Pelbagai bahan makanan akan dijual pada harga lebih murah daripada harga pasaran setempat. Selain itu, bekalan makanan juga boleh diperoleh melalui outlet pemasaran sedia ada di bawah kementerian.
“Ia termasuklah Pasar Tani, MyFarm Outlet, Pasar Komuniti (Pakar), Agrobazaar Rakyat, My Best Buy, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) dan Pasar Nelayan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan sama, Salahuddin turut berkongsi maklumat anggaran jumlah bekalan dan pengeluaran bahan-bahan utama makanan bagi tempoh sebulan.
“Daging lembu dan kerbau (tempatan dan import) sebanyak 24,000 metrik tan. Ayam (tempatan) sebanyak 142,000 metrik tan. Telur ayam sebanyak 800,000,000 biji.
“Selain itu, ikan (pelbagai spesis) sebanyak 20,000 metrik tan. Ikan Segar Beku QFish (pelbagai spesis) sebanyak 145 metrik tan. Kubis bulat sebanyak 9,200 metrik tan dan kelapa biji sebanyak 28,600,000 biji,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!