Belanjawan 2024 tumpu pada daya saing, kurangkan impak kelembapan global - FMM

Sektor pembuatan mengharapkan sokongan berterusan dalam bidang tersebut untuk mencapai aspirasinya sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara. -Gambar hiasan
Sektor pembuatan mengharapkan sokongan berterusan dalam bidang tersebut untuk mencapai aspirasinya sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara. -Gambar hiasan
A
A
A

INISIATIF di bawah Belanjawan 2024 harus menumpukan kepada pengukuhan daya saing industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi global dan tekanan kos inflasi.

Selain itu, Belanjawan 2024 juga perlu memberi penekanan untuk mengukuhkan produktiviti dengan meningkatkan pendigitalan dan menyokong pertumbuhan hijau dan agenda kelestarian, kata Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Tan Sri Soh Thian Lai.

Sehubungan itu, katanya, sektor pembuatan mengharapkan sokongan berterusan dalam bidang tersebut untuk mencapai aspirasinya sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara.

"(Fokus harus diberikan) khususnya kepada sokongan (inisiatif) pasaran untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan serantau. Jika majoriti PKS tidak memiliki hasrat mahupun akses kepada pasaran global, potensi mereka hanya terhad kepada saiz pasaran domestik sahaja,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi separuh kedua 2022, beliau berkata, hanya 9.0 peratus responden memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dilaksanakan pada Mac 2022 manakala hanya 3.0 peratus bagi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dilaksanakan pada November 2022.

Tanpa akses kepada pasaran global, Thian Lai berkata, tiada peluang untuk ekonomi bidangan dan tiada harapan untuk kenaikan gaji tenaga kerja serta penyelidikan & pembangunan dan pengkomersialan dan inovasi (R&DC&I) yang lebih meluas.

Sediakan Insentif kepada PKS tempatan

Oleh itu, beliau berharap kerajaan akan mengumumkan beberapa inisiatif sokongan pasaran dalam Belanjawan 2024, termasuk menyediakan insentif kepada PKS untuk melangkah lebih jauh ke peringkat global dengan sokongan berterusan dari segi geran seperti Geran Pembangunan Pasaran (MDG).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ini boleh dilakukan dengan mempercepat pelaksanaan pembiayaan tambahan sebanyak RM20 juta yang diperuntukkan untuk meningkatkan pertumbuhan eksport di bawah MDG dan Program Pembangunan Syarikat Pertengahan (MTCDP) serta menghapuskan siling MDG bagi syarikat dan memperluaskan ambang MDG yang diberikan untuk Misi Pecutan Eksport (EAM) anjuran persatuan perdagangan.

Menurutnya, beliau juga berharap kerajaan akan menyambung semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan kerana EU akan menyediakan peluang untuk akses yang lebih besar bagi pasaran barangan dan perkhidmatan pada harga lebih kompetitif kepada 743 juta pengguna di Eropah.

Thian Lai berkata, kerajaan juga perlu menyegerakan pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 bagi menyokong pemulihan perniagaan dan ekonomi serta membina kapasiti dan keupayaan syarikat tempatan kita, terutamanya PKS.

"PKS khususnya memerlukan lebih banyak bantuan dan kami menggesa kerajaan untuk terus menyokong PKS dengan mewujudkan Dana Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan peruntukan awal berjumlah RM2 bilion bagi membantu mereka memulakan perjalanan ESG mereka,” katanya.

Langkah ini, katanya, termasuk membantu syarikat Malaysia dalam mematuhi keperluan Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM), dan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) sebagai sebahagian daripada komitmen rantaian bekalan mereka.

Sementara itu, anggota majlis kebangsaan Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Lee Koh Yung berharap Belanjawan 2024 akan memperuntukan bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan perolehan produk tempatan bagi menyokong inovasi dan pengkomersialan teknologi tempatan PKS.

Khususnya, beliau berkata, pelan itu mencerminkan banyak projek dan produk R&D baharu untuk generasi akan datang seperti kecerdasan buatan (AI), penderia pintar, teknologi bersih, teknologi makanan dan sebarang teknologi berimpak tinggi untuk menyediakan batu loncatan bagi penciptaan industri pertumbuhan baharu pada masa depan.

"Peruntukan R&D yang diperluaskan akan digunakan terutamanya untuk menyokong penciptaan industri baharu bagi mengikuti Pelan Induk Industri Baharu 2023 (NIMP).

"Kami menyokong inisiatif mySTI, kami berharap peruntukan belanjawan tertentu akan membantu pengembangan prototaip hingga ke tahap untuk dikomersialkan, kerana ini sangat penting bagi menjadikan R&D itu berjaya dikomersialkan, secara tidak langsung, menggalakkan lebih banyak R&D yang berjaya membuahkan hasil, meningkatkan produktiviti dan inovasi R&D, serta memanfaatkan potensi sumber R&D,” katanya.

Insentif cukai

Thian Lai juga berharap Belanjawan 2024 akan memasukkan insentif potongan cukai dua kali untuk menampung inisiatif berkaitan ESG termasuk yuran/perbelanjaan perundingan dan pensijilan bagi mereka yang memerlukan kepakaran luar dengan program pematuhan ESG/CBAM/EUDR.

Dalam usaha menyokong Amalan Pengilangan Hijau - Penggunaan Tenaga Hijau dan inisiatif Tenaga Boleh Baharu (TBB), beliau berharap kerajaan akan menyemak dan menambah baik dasar dan terma semasa untuk mengimport komponen TBB, termasuk memberi insentif kepada pengeluar komponen TBB untuk melabur di Malaysia.

"Melanjutkan lagi Elaun Pelaburan Semula (RA) Khas (perlu diumumkan) untuk membantu pengeluar sedia ada meningkatkan daya saing dan produktiviti melalui naik taraf berterusan, pengembangan dan kepelbagaian dalam tempoh pemulihan ini,” katanya.

Potongan cukai dua kali untuk pelaksanaan sistem pengurusan LEAN yang direka untuk membantu syarikat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, meningkatkan kemahiran teknikal dan menaikkan kecekapan proses kerja dalam kesediaan bagi membawa industri ke tahap industrialisasi seterusnya.

Bagi menyokong R&D, beliau berkata kerajaan harus memberikan potongan cukai dua kali secara automatik kepada semua syarikat termasuk syarikat peringkat pertengahan dan yang lebih besar memandangkan potensi mereka untuk merangsang inovasi dan kreativiti.

Dari segi lain pula, Lee berpendapat cukai pendapatan peribadi dan korporat harus dikurangkan, membenarkan syarikat asing menikmati kadar cukai yang sama dengan perusahaan kecil dan sederhana, dan dengan itu meningkatkan pendapatan boleh guna bagi individu dan syarikat.

Beliau juga berharap kerajaan akan mengumumkan insentif untuk syarikat yang melaksanakan ESG seperti kredit cukai atau pengecualian untuk menggalakkan syarikat yang prihatin dan persekitaran pelaburan yang baik, supaya syarikat Malaysia boleh menghadapi cabaran global.

Memastikan Ketersediaan Tenaga Kerja Mahir

Thian Lai berkata, Belanjawan 2024 juga perlu terus menyokong kerjasama di antara sektor korporat dengan institusi pendidikan dan latihan kemahiran dalam menawarkan program pembelajaran dan kerja secara bersepadu (latihan amali, perantisan dan skim mengajar kemahiran), dan pembangunan kurikulum.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu merombak sistem pendidikan dan mempromosikan pendidikan vokasional serta pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk mengurangkan ketidakpadanan kemahiran, menggalakkan kreativiti dan inovasi ke arah mewujudkan kumpulan besar pekerja mahir.

"Levi pekerja asing perlu digunakan untuk tujuan tertentu seperti melatih tenaga buruh tempatan bagi merapatkan jurang kemahiran dalam kalangan penduduk tempatan. Ini akan menjadi mekanisme yang berkesan bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan pada masa yang sama meningkatkan kumpulan tenaga kerja mahir dan penggunaan teknologi oleh industri,” katanya.

Sokongan berterusan juga harus diberikan kepada industri yang mengambil bahagian dalam model latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diterajui majikan / didorong oleh permintaan seperti ‘teaching factories’ (konsep pembelajaran berasaskan pengeluaran/perkhidmatan) / model pemilikan bersama / hab kerjasama TVET dengan potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang ditanggung oleh industri untuk perbelanjaan yang dibenarkan yang berkaitan dengan inisiatif sedemikian, kata beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!