Remaja Orang Asli maut motosikal bergesel
KOTA BHARU - Seorang remaja Orang Asli maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Kilometer 81 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang pada Ahad.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 4.15 petang ketika remaja terbabit menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan dari Gua Musang ke Lojing.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, sebaik tiba di lokasi berselekoh, motosikal mangsa tiba-tiba bergesel dengan motosikal rakannya yang juga berusia 15 tahun.
Menurut beliau, akibat pergeselan itu, mangsa terbabas lalu terlanggar besi penghadang jalan dan mengakibatkan kepalanya pecah kerana tidak memakai topi keledar.
"Rakan mangsa pula tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan parah," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Choon Foo memberitahu, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!