Remaja 17 tahun antara ditahan bersama pistol, dadah

Pistol dan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampasa oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan.
Pistol dan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampasa oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas sepucuk pistol dan pelbagai jenis dadah selepas menahan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki dua lelaki semasa melalui sekat pintas di Kampung Simpangan, Tumpat di sini pada Ahad.

Suspek merupakan seorang remaja berusia 17 dan lelaki 28 tahun itu ditahan pada jam 2 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta itu telah menjumpai satu liter cecair kodien.

"Susulan itu, pada jam 4 pagi sambil dipandu arah oleh kedua-dua suspek, anggota PGA telah melakukan serbuan di sebuah rumah yang beralamat di Jalan JKR Pasir Mas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas rumah itu telah menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson bersama tujuh butir peluru dan lima kelongsong peluru.

Ujarnya, turut ditemui 147 biji pil yaba, ecstasy (2 biji), ganja (14 gram) dan pil epam (1,100 biji).

Muhamad Zaki
Muhamad Zaki

Muhamad Zaki memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM5,101.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Hasil semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Menurut Muhamad Zaki, susulan daripada dua serbuan itu, pada jam 5.30 pagi, polis telah menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dan merampas 30 biji pil yaba dan herion (4.95 gram) dalam serbuan di Kampung Padang Tola, Pasir Mas.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal ke atas suspek mendapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenyah lampau.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 14 Oktober untuk tindakan lanjut.