Pemandu peribadi didakwa salah guna wang JKKR Felda Bukit Jalor

Mohd Bazrin (tengah) diiring polis sebaik tiba di Mahkamah Majistret Tampin pada Isnin.
Mohd Bazrin (tengah) diiring polis sebaik tiba di Mahkamah Majistret Tampin pada Isnin.
A
A
A

TAMPIN - Seorang pemandu peribadi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan harta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Bukit Jalor sehingga mengakibatkan kerugian sehingga RM31,500 enam bulan lalu.

Tertuduh Mohd Nazrin Daud, 32, dari Kota Tinggi, Johor bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Kartini Kasran selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu sejumlah wang dengan nilai keseluruhan RM31,500 kepunyaan JKKR Felda Bukit Jalor.

Kesalahan itu dilakukan dari 4, 10, 14, 17, 18 dan 27 April lalu bertempat di sebuah bank di Gemencheh.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat serta denda.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes 16 November ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!