Dua maut nahas pesawat ringan di Australia Selatan
CANBERRA - Seorang bapa dan anak lelakinya yang menaiki pesawat ringan maut apabila kapal terbang itu terhempas di Australia Selatan, Xinhua memetik laporan media tempatan pada Isnin.
Polis pada Isnin mengesahkan seorang juruterbang berusia 50 tahun meninggal dunia semalam selepas dibawa ke Hospital Diraja Adelaide dalam keadaan kritikal berikutan nahas itu.
Anak lelaki juruterbang berusia 24 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian pada petang Ahad.
Kedua-duanya dalam perjalanan menggunakan pesawat ringan Cessna apabila ia melanggar talian elektrik dan terhempas ke padang berhampiran bandar kecil Crystal Brook, kira-kira 200km ke utara Adelaide, selepas 4.00 petang waktu tempatan pada Ahad.
Penyiasat dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) bersama pakar dalam operasi, penyelenggaraan dan kejuruteraan pesawat telah melawat tempat kejadian pada Isnin untuk memastikan punca nahas.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, ATSB meminta saksi atau sesiapa yang mempunyai rakaman video pesawat terbang itu tampil membantu siasatan. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!