Kerajaan setuju teruskan program PLKN, latihan di kem tentera

Mohamad semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Mohamad semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan berbeza iaitu menggalakkan anak muda untuk menjalani latihan disiplin dan ketenteraan di kem tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi tujuan tersebut, sebanyak 13 kem pusat latihan askar Wataniah dengan kapasiti yang mampu menampung seramai 20,000 pelatih akan digunakan bagi sesi latihan untuk tempoh 45 hari.

“Kerajaan telah pun memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN kerana PLKN ini amat baik untuk diberikan asas ketatanegaraan kepada belia.

"Satu jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan 'template' (rangka) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan-cadangan pelaksanaan semula PLKN sebagai satu inisiatif di bawah kementerian.

Dalam pada itu, ujar Mohamad, pelaksanaan PLKN 3.0 di kem tentera juga dilihat dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang hanya akan membelanjakan sebanyak RM100 juta setahun.

Menurutnya, model PLKN sebelum ini mencecah kos perbelanjaan sehingga RM500 juta setahun.

“Kita mahu supaya kali ini kita tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan.

Artikel Berkaitan:

“Penjimatan ini adalah kerana kita menggunakan kem dan tentera (pengajar dan jurulatih) sendiri,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!