[VIDEO] Rogol, amang seksual: Remaja lembam berdepan penjara 60 tahun

A
A
A

MUAR - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga tuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan bawah umur, pada bulan lalu.

Tertuduh berusia 19 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, pekerja kedai makan itu didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun di belakang sebuah rumah di sini pada jam 1 pagi, awal September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Parit Jawa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 10 malam pertengahan September dan jam 11.15 malam, 29 September.

Tertuduh dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal di Mahkamah Sesyen Muar pada Isnin.
Tertuduh dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal di Mahkamah Sesyen Muar pada Isnin.

Pertuduhan dikemukakan masing-masing mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara masing-masing 20 tahun dan sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Danial mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 memandangkan ia kesalahan serius.

Namun, tertuduh meminta jaminan direndahkan kerana mempunyai kad OKU masalah pembelajaran selain bekerja di kedai makan dengan pendapatan harian RM60.

Tertuduh yang tinggal bersama nenek selepas kematian kedua ibunya juga memberitahu mahkamah akan mendapatkan peguam.

Abu Bakar kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 untuk kesemua pertuduhan selain perlu melaporkan diri di Balai Polis Muar setiap bulan serta tidak dibenarkan berhubung dan mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula serta serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!