Empat juta rakyat terima manfaat program Jualan Rahmah

Fuziah
Fuziah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat juta rakyat negara ini telah mendapat manfaat daripada Program Jualan Rahmah sejak ia dilaksanakan awal tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi menjayakan program jualan tersebut.

“Berkenaan dengan Jualan Rahmah, kita sudah mendapat RM150 juta iaitu RM100 juta diluluskan di Parlimen untuk Belanjawan 2023 dan RM50 juta diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai tambahan.

“Setakat ini kita telah menyantuni empat juta rakyat Malaysia dalam Program Jualan Rahmah dan nilai jualannya adalah RM890 juta. Subsidinya tadi RM150 juta,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang meminta penjelasan berhubung kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk melaksanakan Program Jualan Rahmah.

Dalam pada itu, mengulas mengenai usaha-usaha KPDN dalam memantau kenaikan harga barang dan aktiviti pencatutan daripada sesetengah pembekal atau pengeluar, ujar Fuziah, seramai 2,200 penguat kuasa ditugaskan untuk turun ke padang setiap hari bagi memastikan aktiviti-aktiviti tersebut tidak berlaku.

“Kita juga ada dalam 900 pegawai pemantau harga yang turun memeriksa harga di premis-premis seluruh negara setiap hari.

“Pada masa yang sama, kumpulan penguat kuasa kita ada jadual yang tetap dan mereka juga buat terjahan (pemeriksaan) secara mengejut.

Artikel Berkaitan:

“Ada juga mereka berpakaian seperti orang biasa untuk menyiasat keadaan di kedai-kedai,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!