'Tak mahu jadi pembangkang hanya bertekak dalam Dewan' - Ridzuan

Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15. Gambar kecil: Ridzuan
Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15. Gambar kecil: Ridzuan
A
A
A

SEREMBAN - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Ridzuan Ahmad mahu menjadikan kumpulan pembangkang di negeri itu sebagai pasukan yang baik selain bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, mereka tidak mahu dilihat sebagai pembangkang yang hanya bertekak di dalam sidang DUN semata-mata.

"Kali ini, kami bukannya nak jadi pembangkang yang nak bertekak dalam Dewan, tapi membantu kerajaan negeri untuk tingkatkan hasil dan pembangunan.

"Ia sekali gus menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri maju yang lebih cepat seperti mana titah Tuanku Besar Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas berkata, menjadi kerugian buat Negeri Sembilan jika tidak mengambil kesempatan untuk menjadi negeri terbaik lebih-lebih lagi sebagai negeri yang berhampiran dengan Lembah Klang.

Beliau berkata, ia juga sebagai menyahut titah Tuanku Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang mahu semua wakil rakyat dilantik fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

"Walaupun kami menang hanya lima kerusi DUN, tapi kami akan berusaha jadi pembangkang yang baik dan yakin akan beri kerjasama baik dengan kerajaan dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Saya nampak apa yang dititahkan oleh Tuanku iaitu berkenaan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan peluang pembangunan yang sama rata antara yang kita akan suarakan," katanya sambil memberitahu akan turut memberi perhatian kepada beberapa daerah yang agak ketinggalan berbanding kawasan lain di negeri itu seperti Tampin, Jempol dan Jelebu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, berkenaan pemilihannya sebagai Ketua Pembangkang, Ridzuan berkata, perkara tersebut diputuskan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) Pusat dengan memilih wakil dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai Ketua Pembangkang di Negeri Sembilan dan Selangor.

Beliau diumumkan sebagai Ketua Pembangkang oleh Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15 pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!