Rooney disebut-sebut bimbing Birmingham

Wayne Rooney - Foto AFP
Wayne Rooney - Foto AFP
A
A
A

SELEPAS meninggalkan kelab Amerika Syarikat (AS) DC United, Wayne Rooney dikhabarkan bakal kembali ke arena bola sepak Inggeris.

Bintang England dan Manchester United itu disebut-sebut antara calon untuk mengisi jawatan sebagai jurulatih Birmingham City.

Dilaporkan bos Birmingham, John Eustace berminat mengisi kerusi panas di Rangers dan pemilik baharu The Blues dari AS itu melihat Rooney sebagai pengganti yang sesuai.

Eustace pada musim panas lalu menolak tawaran Swansea dan Birmingham ketika ini menghuni tangga keenam Liga Kejuaraan.

Rooney mempunyai hubungan yang baik dengan Ketua Pegawai Eksekutif The Blues, Garry Cook yang sebelum ini pernah bekerja di Manchester City.

Dilaporkan sekiranya Rooney mengikat perjanjian dengan Birmingham, dia turut mengajak dua bekas rakan sepasukannya untuk menyertai barisan kejurulatihannya.

Mereka ialah bekas pertahanan kiri England dan Chelsea, Ashley Cole dan bekas pemain United, John O'Shea.

Rooney meninggalkan DC United - kelab pertama diwakilinya ketika di AS selepas mereka gagal layak ke play-off Piala Liga Bolasepak Utama (MLS).

Artikel Berkaitan:

Pengendali berusia 37 tahun itu mengisi jawatan di MLS pada Julai 2022 selepas memperoleh pengalaman melatih Derby County.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!