Lebih 40,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal - MyCARE Gaza
JOHOR BAHRU - Seramai lebih 40,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza hilang tempat tinggal dan telah berpindah akibat serangan berterusan tentera Israel sejak Sabtu.
Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada berkata, menurut Kementerian Pembangunan Sosial Palestin, kesemua mereka telah meninggalkan kediaman dan cuba mencari perlindungan termasuk di sekolah-sekolah.
"Mereka berpindah dari satu tempat ke tempat lain, bergantung kepada sejauh mana tempat tersebut berbahaya. Mereka sangat memerlukan tilam, selimut, bantal dan keperluan lain yang mendesak.
"Bekalan elektrik di (Semenanjung) Gaza juga telah dipotong dan kami hanya boleh mendapatkan elektrik cuma empat jam sehari. Internet juga sangat lemah dan tidak tersedia.
"Rangkaian (bekalan) air dan kumbahan telah musnah di beberapa kawasan. Ramai orang juga pergi ke kedai untuk mendapatkan (bekalan) makanan yang mereka perlukan kerana percaya ini adalah peperangan yang panjang dan (buat masa ini) banyak barangan sudah habis," katanya dalam hantaran video berbahasa Melayu berdurasi empat minit lebih, di sini, pada Isnin.
Ziad, yang pernah belajar di Malaysia berkata, dia dan keluarga berserta dua keluarga adik-beradiknya juga telah berpindah ke tempat baharu.
"Kami juga cuba membantu di hospital tetapi kami tidak dapat melakukannya kerana serangan berterusan. Kami juga cuba keluar untuk membantu mereka yang cedera," katanya lagi.
Katanya, serangan sejak 33 jam yang lalu (ketika rakaman video) turut memberi tekanan emosi yang berat kepada kanak-kanak.
"Hampir setiap minit kami mendengar letupan besar sejak permulaan pertempuran. Kami tidak tidur dengan lena sehingga sekarang. (Kedengaran) anak-anak menjerit dan menangis setiap kali berlaku letupan.
"Mereka benar-benar memerlukan rawatan psikologi selepas serangan untuk merawat ketakutan mereka, contohnya anak saya Abdullah, memegang tangan saya sepanjang malam dan gementar setiap kali berlaku letupan," katanya.
Katanya, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin, jumlah penduduk yang terkorban adalah seramai 330 orang manakala lebih 2,000 orang cedera, serta difahamkan masih ramai terperangkap di bawah runtuhan bangunan susulan serangan pihak Zionis itu.
Terbaharu, dalam hantaran di Facebook pada Isnin, Ziad berkata, seorang rakyat Palestin Dr Mohamad J Alzaneen yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Negeri Sembilan dan pulang ke Semenanjung Gaza beberapa minggu lepas, terbunuh bersama 20 ahli keluarganya termasuk isteri dan anak-anaknya, selepas kediaman mereka dibom. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!