Ahli Parlimen sepakat sokong perjuangan rakyat Palestin

Asap memenuhi ruang udara selepas pesawat pejuang Israel menyasarkan menara Palestin di Kota Gaza. - Foto EPA
Asap memenuhi ruang udara selepas pesawat pejuang Israel menyasarkan menara Palestin di Kota Gaza. - Foto EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang Malaysia sepakat menyokong perjuangan rakyat Palestin bagi menuntut hak dan kedaulatan mereka yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Mereka menyatakan kesepakatan itu semasa sesi perbahasan penerangan menteri berhubung Perkembangan Semasa Konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat pada Isnin.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata, rakyat Palestin mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan seluruh dunia harus menerima hakikat berkenaan dan bersolidariti dengan menafikan pandangan-pandangan serong yang cuba diberikan oleh beberapa kuasa besar di belakang Israel.

"Saya bersetuju harus ada penyelesaian segera dan menghentikan pertempuran. Tetapi penyelesaian dan menghentikan pertempuran tidak boleh berbalik kepada status quo. Sebab kalau berbalik kepada status quo, inilah yang berlaku.

"Penyelesaian hanya (boleh diterima) dengan syarat pendudukan haram dan dasar apartheid Israel dihentikan, baru kita boleh bersetuju dengan penyelesaian. Kita mesti terus melabelkan Israel sebagai entiti apartheid. Dan sangat mustahak, Malaysia tidak akan normalisasi hubungan dengan Israel,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam penerangannya menyatakan pendirian Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar mengambil tindakan segera untuk meminta semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.

Ahmad Zahid berkata, rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sementara itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dalam perbahasannya berkata, pertempuran yang berlaku ketika ini bukanlah satu tindakan ganas daripada pihak Hamas, sebaliknya ia adalah tindak balas mempertahankan diri dari penindasan dan tindakan zalim rejim zionis terhadap rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Berkenaan Palestin turut meminta kerajaan menyatakan pendirian menolak usaha normalisasi antara Israel dengan Arab Saudi.

"Kalau ini (normalisasi Israel-Arab Saudi) berlaku akan menimbulkan suasana yang amat rumit bagi negara-negara yang ada hubungan dengan Arab Saudi termasuk Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata, realitinya rakyat Palestin sedang hidup di dalam penjara terbesar di dunia yang kebebasan harian disekat selain sentiasa hidup dalam ketakutan memandangkan bila-bila masa mereka boleh dibedil dengan bom rejim zionis.

"Mereka sedang hidup dalam ketakutan 24 jam, tujuh hari seminggu selama berdekad-dekad lamanya. Perkara ini bukan baru timbul dan muncul beberapa minggu lepas. Sebab itu apabila dunia hanya menggunakan kemarahan yang selektif apabila ada rakyat tidak bersalah dibunuh, tetapi mereka menutup mata apabila rakyat Palestin dibunuh dengan kejam sejak berdekad lamanya.

"Apabila pemimpin dunia katakan Israel ada hak untuk mempertahankan diri, di manakah mereka apabila rakyat Palestin dibunuh secara kejam? Mana hak Palestin untuk membela dan mempertahankan hak mereka?” soal beliau.

Sementara itu, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berkata, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap Israel memandangkan keganasan yang dilakukan oleh regim zionis itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan mengorbankan banyak nyawa.

"Kita boleh keluarkan 100,000 resolusi di mana-mana peringkat multilateral, tapi kita perlu pastikan tindakan diambil dan pastikan undang-undang antarabangsa terpakai sama ada untuk semua termasuk rejim pengganas Israel ini,” katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) pula mencadangkan agar Malaysia menghantar misi bantuan perubatan kepada mangsa di Palestin yang mengalami kecederaan disebabkan tindakan kejam Israel.

"Pada masa sama saya ingin tanya adakah kita bercadang menyediakan pasukan pengaman Malaysia ke Palestin bagi melindungi mangsa yang dizalimi Israel ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!