Pertuduhan ke atas Roger belum diputuskan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum memutuskan sebarang bentuk pertuduhan ke atas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan.

"Terlalu awal untuk saya meramalkan," katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi libat urus Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM sama ada untuk meneruskan siasatan sedia ada ataupun membuka siasatan baharu.

"Sebelum ini siasatan terhadap Roger terhenti sementara kerana beliau diserahkan kepada AS (Amerika Syarikat), jadi sama ada hendak meneruskan siasatan lama ataupun ada bentuk siasatan baru itu kuasa polis," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya akan memulakan siasatan ke atas Roger bagi membantu siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Roger dijatuhi penjara 10 tahun pada Mac lalu kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB.

Mengulas sama ada Roger akan dihantar semula ke AS untuk menjalani perintah pemenjaraan, Saifuddin berkata, ia belum sampai ke proses berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita belum sampai situ lagi. Sekarang baru bawa balik, tengok kepada hasil siasatan dan sebagainya.

"Apa pun kita terikat kepada terma yang telah dipersetujui dengan AS sama ada di peringkat triti atau pun koresponden antara kedua- dua negara melalui Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ)," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, hasil libat urus berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja pada hujung bulan ini.

"Apa-apa input di sana sama ada pandangan dan sebagainya akan dibawa semula ke KDN untuk diteliti sebagai panduan untuk merangka suatu arahan pentadbiran yang baharu," katanya sambil menambah lima sesi libat urus telah diselesaikan.

Pada 10 Mac 2021 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Ia sekali gus membenarkan semakan kehakiman seorang wanita, Jill Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah ALLAH untuk tujuan agama dan pendidikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!