RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang membentangkan RUU tersebut berkata, bacaan kali kedua dijadualkan pada sesi kali ini.

RUU tersebut bertujuan mengadakan peruntukan bagi tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal.

Ini khususnya berkaitan dengan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang; melaporkan dokumen belanjawan tahunan dan penerbitan dokumen lain dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara lain yang berkaitan.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, objektif dasar fiskal itu melibatkan menteri bertanggungjawab merumuskan dan melaksanakan dasar fiskal kerajaan untuk memastikan kemampanan kewangan awam, memelihara kestabilan makroekonomi serta melindungi kesejahteraan rakyat.

RUU itu turut menyatakan objektif fiskal dan nilai kuantiti, antaranya untuk memastikan perbelanjaan pembangunan tahunan minimum yang dilakukan sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan juga hendaklah mencapai baki fiskal yang mampan sebagai peratusan kepada KDNK dalam jangka masa sederhana serta mencapai tahap hutang berhemat sebagai peratusan kepada KDNK dalam jangka masa sederhana.

"Objektif itu juga untuk mengehadkan pendedahan kepada risiko fiskal berhubung dengan apa-apa jaminan kewangan sebagai peratusan kepada keluaran dalam negeri kasar,” demikian menurut dokumen itu.

Artikel Berkaitan:

Pada awal tahun ini, Ahmad berkata, Akta Tanggungjawab Fiskal itu akan merangkumi beberapa komponen antaranya had peratusan hutang kerajaan tidak melebihi 65 peratus daripada KDNK serta menanggung bayaran khidmat hutang yang tidak melebihi 15 peratus daripada belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!