Sasar capai Kadar Sara Diri beras negara 75 peratus pada 2025
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyasarkan untuk mencapai Kadar Sara Diri (SSR) beras masing-masing sebanyak 75 peratus pada 2025 dan 80 peratus pada tahun 2030 dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2023 (DAN2.0).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelbagai program keterjaminan makanan, terutamanya beras yang merupakan makanan ruji, telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan sekuriti bekalan makanan sentiasa terjamin sepanjang masa sejak Dasar Pertanian Negara mula dilaksanakan pada tahun 1984.
“Sehingga ke hari ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa mendepani isu dan cabaran daripada pelbagai sudut dalam usaha membekalkan beras putih tempatan pada harga RM2.60 per kilogram yang merupakan harga terendah dalam kalangan negara Asia Tenggara.
“Sebagai perbandingan, harga beras putih di negara serantau yang lain adalah seperti berikut: Thailand (RM3.40), Filipina (RM3.70), Vietnam (RM3.50), Indonesia (RM3.90), Laos (RM5.50), Kemboja (RM4.50), Brunei (RM6.00) dan Singapura (RM4.50).
“Dengan kawasan bertanam negara tidak sampai satu juta hektar berbanding negara Asia Tenggara lain yang memiliki belasan juta hektar, negara mampu mencapai SSR 62.6 peratus pengeluaran beras tempatan pada tahun 2022 dan selebihnya ditampung melalui sumber import.
“Secara dasarnya, pengukuhan keseluruhan rantaian nilai industri perlu dijadikan agenda utama dalam melakukan anjakan paradigma terhadap industri padi dan beras negara dan kerjasama di antara awam-swasta dan semua pihak berkepentingan adalah kunci kepada pertumbuhan industri yang lebih mampan,” katanya ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, ujar Mohamad, kerajaan turut menetapkan harga lantai padi pada RM1,200 tan metrik.
Menurutnya, kali terakhir harga lantai padi dinaikkan adalah pada 2014 iaitu dari RM750 tan metrik kepada RM1,200 tan metrik.
“Penetapan harga lantai ini adalah memastikan petani mendapat harga berpatutan dan sebagai tanda aras kepada pengilang untuk membeli padi pada harga yang tidak kurang daripada yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Harga lantai padi merupakan asas dalam penetapan harga pasaran beras. Harga lantai padi yang tinggi boleh mengganggu kestabilan harga pasaran beras tempatan yang akhirnya akan membebankan pengguna,” ujarnya.
Tambahnya, harga pasaran beras tempatan yang tinggi juga akan menggalakkan aktiviti penyeludupan beras ke dalam negara.
“Sebab itu sekarang harga beras di Sabah agak murah maka kawalan sempadan perlu diperketatkan. Kemungkinan beras akan dibawa keluar,” ulasnya.
Sementara itu, beliau menegaskan, semua pengeluar atau pemborong hendaklah memastikan penjualan benih padi sah tidak melebihi daripada kuota yang telah diberikan.
Selain itu, jelasnya, harga yang dijual kepada peruncit tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan iaitu RM31 per kampit 20kg jualan benih di pintu kilang manakala harga maksimum RM32 per kampit 20kg termasuk pengangkutan.
“Bagi jualan benih padi sah pada peringkat runcit kepada pesawah hendaklah dijual tidak melebihi harga maksimum iaitu RM35 per kampit 20kg.
“Sekiranya didapati ada pihak gagal untuk melaksanakan arahan ini dan mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], kementerian melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak untuk membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!