Formula 'sasaran tanpa warna pingat' dijangka kekal
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dijangka terus mengekalkan formula sama - 'sasaran tanpa warna pingat' pada temasya sukan akan datang termasuk Sukan Olimpik Paris 2024.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pendekatan yang kali pertama diguna pakai pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 itu ternyata telah membuahkan hasil.
Malah, Hannah mengakui formula itu tampak berjaya mengurangkan tekanan kepada kontinjen Malaysia yang berjaya membawa pulang enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa dari bumi Hangzhou.
"Ini (sasaran tanpa warna pingat) dibuat bukan kerana mengikut kaedah baharu atau apa. Ia adalah nasihat daripada NSSU (Universiti Sains Sukan Nippon) kepada kita.
"Kita apabila bercakap dengan atlet di sana (Hangzhou) pun, atlet kata apabila ada cara baharu ini, mereka rasa tekanan itu tidak wujud sebelum mereka bertanding.
"Jadi kalau perkara itu baik untuk atlet kita, kita akan teruskan (untuk temasya yang akan datang)," kata Hannah dalam sidang akhbar khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Pada masa sama, Hannah berkata, perubahan yang dilakukan itu demi kebaikan setiap atlet yang menggalas tanggungjawab besar Malaysia dalam temasya sukan antarabangsa.
"Apa sahaja yang kami buat, mesti ada yang tak gembira kerana ada perubahan tetapi kita tak akan takut pada perubahan jika ia mendatangkan kebaikan kepada atlet.
"Keutamaan KBS adalah mengutamakan kesejahteraan atlet Malaysia.
Kalau kita letak sasaran tinggi, kita dikritik tak realistik... kalau letak sasaran rendah, kita dikritik tidak mempunyai kemahuan.
"Kalau tak letak sasaran pula, kita dianggap tiada keyakinan dan kalau sasar serta hasilnya itu tepat, itu bukan sukan lagi, ini mungkin sihir namanya," ujarnya.
Kejayaan kontinjen Malaysia membawa pulang 32 pingat secara keseluruhannya, sekali gus melepasi sasaran 27 pingat yang disasarkan sebelum mereka berlepas ke Hangzhou.
Kontinjen Malaysia menamatkan saingan di tangga ke-14 daripada 45 negara, manakala tuan rumah, China nyata berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara keseluruhan dengan 201 emas, 111 perak dan 71 gangsa.
Dua lagi kuasa besar Asia - Jepun (52 emas, 67 perak dan 69 gangsa) dan Korea Selatan (42 emas, 59 perak dan 89 gangsa) masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga keseluruhan.
"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada atlet yang berjuang habis-habisan untuk memenangi pingat bagi negara, ada yang patah jari dan ada juga mata tercedera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!