Perak hantar kertas cadangan bina lapangan terbang Seri Iskandar

Saarani (tengah) dalam sidang media di program 'Tanya Cikgu Saarani' di UiTM Seri Iskandar.
Saarani (tengah) dalam sidang media di program 'Tanya Cikgu Saarani' di UiTM Seri Iskandar.
A
A
A

PARIT - Kerajaan Perak telah menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan bagi membina lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Seri Iskandar di sini.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kerajaan negeri telah menyediakan lokasi untuk pertimbangan dan kelulusan kedua-dua kementerian terbabit.

"Kita sudah jual idea kerana kita hendak bangunkan negeri kita sebagai Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), kita lihat ada keperluan untuk mempunyai sebuah terminal kargo.

"Tanah sudah ada cuma cadangan itu tertakluk kepada persetujuan MOT (Kementerian Pengangkutan) dan MOF (Kementerian Kewangan). Kalau mereka setuju dapatlah dan kalau tidak setuju tidak berupayalah kami," katanya kepada pemberita pada program 'Tanya Cikgu Saarani' di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Seri Iskandar di sini pada Isnin.

Saarani berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin pada program 'Tanya Cikgu Saarani' di UiTM Seri Iskandar.
Saarani berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin pada program 'Tanya Cikgu Saarani' di UiTM Seri Iskandar.

Saarani berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada kewangan kerajaan dan pihaknya mengharapkan khabar positif demi pertumbuhan ekonomi negeri bagi jangka panjang.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri mencadangkan tapak seluas 1,618. 7 hektar berhampiran kawasan Felcra Nasaruddin dekat Bota untuk dibangunkan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Kajian awal dilaksanakan sebuah syarikat kejuruteraan infrastuktur antarabangsa yang berpusat di United Kingdom, Colebrand International Limited.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, pembinaan makmal analisis mineral masih diperingkat dasar dan dijadualkan akan dibina bermula tahun hadapan.

"Makmal ini dibina oleh sebuah syarikat SPV (Special Purpose Vehicles) yan dikongsi bersama tiga entiti iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak).

"Setakat ini baru peringkat dasar. Tahun depan kita akan mula setelah segala kelulusan dan prosedur dipatuhi. Ia mengambil masa panjang dan modal agak besar," katanya.

Tambah beliau, pihaknya telah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) melibatkan kawasan seluas 2,160.6 hektar bagi operasi perlombongan nadir bumi bukan radioaktif NR-REE di Gerik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!