Sharifah Nor Aini buntu selepas dibuang kerja
MELAKA - Seorang wanita yang sedang mendapatkan rawatan sebagai pesakit psikiatri sejak dua tahun lalu, buntu memikirkan nasibnya yang diberhentikan kerja oleh majikannya baru-baru ini.
Sharifah Nor Aini Yusuf, 41, yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak mendakwa majikannya memberikan alasan tidak wajar selepas beberapa minggu menerima tawaran sebagai pekerja tetap bagi jawatan kedi di sebuah padang golf.
Katanya, selepas diceraikan suami tahun lalu, dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan menyara anak dan kedua ibu bapanya dengan bekerja sambilan di padang golf sebelum ditawarkan sebagai pekerja tetap awal bulan Ogos lalu.
Namun pada pertengahan Ogos, dia mendakwa mendapat surat pemberhentian kerja dan situasi itu membuatkan dia benar-benar tertekan kerana hilang punca pendapatan, lebih- lebih lagi anak tunggalnya, Siti Nur Hawa Azhar, berusia dua tahun mengidap sakit jantung sejak lahir.
Katanya, meskipun mendapat bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan sakit kronik anak RM150 sebulan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), jumlah itu didakwa tidak mencukupi lebih-lebih dia tidak lagi bekerja.
"Sebenarnya saya nak kumpul wang untuk bawa anak dapatkan rawatan susulan di Serdang, namun sekarang terpaksa melupakannya kerana telah diberhentikan kerja.
"Disebabkan itu juga saya terpaksa teruskan ambil ubat setiap hari agar tidak terlalu kemurungan atau melakukan sesuatu di luar jangkaan.
"Saya sentiasa doa anak sihat selalu dan kesihatan saya semakin baik supaya dapat menjaga anak dengan baik," katanya yang mengidap penyakit serangan panik, major depression disorder (MDD) dan kemurungan selepas melahirkan anaknya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 112205000751 atas nama Sharifah Nor Aini Yusuf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!