PRK Pelangai: Undi BN merosot sebab peratusan keluar mengundi menurun

Ahmad Zaharuddin Sani
Ahmad Zaharuddin Sani
A
A
A

ALOR SETAR - Perolehan undi oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai merosot disebabkan peratusan keluar mengundi menurun.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, bagaimanapun undi BN dalam PRK tersebut meningkat kepada 61.7 peratus berbanding 56.9 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, ia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 4.8 peratus.

“Sekiranya digabungkan undi BN dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 menjadikan 72.7 peratus atau 9,339 undi, iaitu perbezaan undi 2,015.

“Jika jumlah undi BN ditambah undi PH (PRU15) secara perbandingan dengan perolehan undi dalam PRK, berlaku kemerosotan undi. Faktor ini disebabkan oleh perbezaan peratusan keluar mengundi pada PRK sebanyak 72.12 peratus berbanding PRU15, 78.4 peratus,” katanya di sini pada Isnin.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, undi Perikatan Nasional (PN) mengalami kenaikan sebanyak 11.5 peratus, yang menyaksikan perolehan undi 25.4 peratus pada PRU15 kepada 36.9 peratus (PRK).

“Secara keseluruhan, BN menang dengan peratusan 61.7 peratus (7,324 undi) dengan majoriti 2,949 undi. Sementara PN memperolehi 36.9 peratus (4,375 undi),” jelasnya.

Menurutnya, sokongan Melayu kepada BN dianggarkan lebih tinggi, iaitu 52.1 peratus berbanding PN sebanyak 46.8 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Calon Bebas hanya mampu raih sekitar 0.4 peratus sokongan Melayu. Majoriti sokongan Cina terhadap BN agak tinggi dengan 97 peratus, PN hanya 2.8 peratus dan bebas satu peratus,” ujarnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pola pengundian undi 18 tahun bagi kategori Melayu sahaja mendapati bagi saluran (18-24 tahun), BN menang dengan 53 peratus (247 undi) dibandingkan PN (47 peratus atau 218 undi).

“BN menguasai undi awal khususnya umur 18-24 tahun. Bagi kategori 25-50 tahun, PN mengekalkan penguasaan sama seperti PRU15 bagi undi Melayu. Pengundi Melayu BN yang berumur 50 tahun ke atas tegar kepada BN,” jelasnya.

Menurutnya lagi, berdasarkan pola pengundian saluran dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) pula menyaksikan BN menang tujuh daripada sembilan PDM meliputi 24 daripada 32 saluran.

“PN pula menang dua daripada sembilan PDM, meliputi lapan daripada 32 saluran,” katanya lagi.

Ahmad Zaharuddin Sani turut membuat perbandingan pola pengundian mengikut kawasan Felda dan menyifatkan kawasan terbabit bukan lagi menjadi deposit tetap BN.

“PN menang dua daerah mengundi, iaitu PDM Felda Sungai Kemahal (49.3 peratus) sementara BN (49.5 peratus), yang menyaksikan saluran satu dan empat dimenangi BN, saluran dua, tiga dimenangi PN. Ia hanya membabitkan perbezaan 0.2 peratus sahaja.

“PDM Felda Sungai Kemasul (PN: 55.9 peratus, BN: 43 peratus), iaitu saluran satu dimenangi BN dan selebihnya dimenangi PN dengan perbezaan 12.9 peratus,” katanya lagi.

Tambah beliau, calon PN, Kasim Samat kalah di kampung beliau sebagai calon di Felda Chemomoi yang memberi kemenangan kepada BN dengan 53.8 peratus berbanding PN (45.2 peratus).

“Secara pecahan di Chemomoi, BN menang di saluran satu, dua dan lima, selebihnya dikuasai PN,” jelasnya.

Pada PRK itu, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi selepas memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat dengan 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni meraih 47 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!