Padam hantaran, mohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang - Rosli

Rosli (tengah) menunjukkan dua laporan polis terhadap dua pemilik akaun Facebook yang dibuat di Balai Polis Kuantan pada Isnin.
Rosli (tengah) menunjukkan dua laporan polis terhadap dua pemilik akaun Facebook yang dibuat di Balai Polis Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar memberi tempoh 24 jam kepada pemilik akaun Facebook DS Shahaniza Shamsuddin dan Che Ibrahim Mohamed untuk memohon maaf selain memadamkan perkongsian hantaran palsu berbaur 3R (kaum, agama, raja) yang dikaitkan dengan dirinya sejak Sabtu lalu.

Rosli berkata, tangkap layar hantaran yang dimuat naik pemilik akaun Facebook berkenaan bukan tulisannya, sebaliknya dipercayai diedit pihak tertentu menggunakan nama akaun Facebooknya.

"Laporan polis telah dibuat terhadap dua akaun Facebook terbabit dan kita minta pemiliknya segera memadamkan hantaran tersebut seberapa segera serta membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, saya minta peguam meneliti untuk tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN).

Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur berkata, hantaran yang dikongsi melalui Facebook dipercayai milik pemimpin parti lawan itu disedarinya antara jam 6 hingga 8 malam ketika berada di Pelangai, Bentong pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu Sabtu lalu.

"Saya dapati mereka telah membuat paparan umum dengan menulis 'Apa masalah dia ni? dan 'Khawari moden semakin menzohirkan diri' disertakan kenyataan 3R itu pada tangkap layar tertera nama Facebook saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan laporan polis juga telah dibuat seorang pemimpin UMNO terhadap saya berkaitan tulisan tersebut," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, tulisan tersebut dibuat atas dasar tidak boleh menerima kekalahan pada PRK Pelangai sedangkan hantaran palsu itu disebarkan pada hari pengundian.

"Pusat pengundian pun belum tutup jadi tidak tahu lagi siapa menang siapa kalah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!