Amanah adakan solat hajat doakan keselamatan rakyat Palestin

Mujahid Yusof Rawa - Foto Bernama
Mujahid Yusof Rawa - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengadakan solat hajat bagi menyatakan solidariti dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin selepas solat Isyak, Jumaat ini di Shah Alam, Selangor.

Naib presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, solat hajat itu juga dibuat sebagai tanda bantahan terhadap tindakan zalim tentera Israel yang merampas bumi Palestin.

"Selain solat hajat, satu ceramah juga akan diadakan selepas itu. Sebarang info lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyeru orang ramai untuk hadir dan bersama-sama mendoakan kesejahteraan buat seluruh penduduk Palestin kerana ia penting sebagai signal kepada dunia bahawa Malaysia kekal dengan pendirian menyokong Palestin.

Sementara itu Majlis Ulama UMNO pula dalam kenyataan menuntut agar kezaliman ke atas rakyat Palestin dihentikan, dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu segera bersidang untuk mencari penyelesaian bagi mengembalikan hak rakyat Palestin yang dicabul.

"Majlis Ulama UMNO juga menyeru agar para ulama dan seluruh umat Islam terus mendoakan agar Islam dan umat Islam dipelihara serta dikurniakan kemenangan walau di mana sahaja mereka berada,” menurut kenyataan itu.

Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Azizuddin Ahmad pula berkata, WADAH mengulangi dan menyatakan solidariti sepenuhnya bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk pembebasan dan hak penentuan nasib negara mereka.

"...Palestin tidak boleh diabaikan atau dianggap tidak relevan demi mencapai keamanan yang berkekalan di rantau ini. Pembebasan dan penentuan hak Palestin mesti didahulukan sebelum normalisasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muslim Care Malaysia (MCM) telah menggerakkan usaha mengumpul dana bagi membangunkan sebuah masjid baharu menggantikan Masjid Muhammad Al Amin yang musnah akibat dibom tentera Israel semalam.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, sumbangan untuk pembinaan masjid di Gaza boleh disalurkan ke akaun Muslim Care Malaysia 07016010077651 (Bank Islam) atau 564490211159 (Maybank) dengan rujukan: Masjid Palestin.

"Hantarkan slip pindahan wang ke talian Hotline MCM 011-50050035 atau 016-9978323 (Johari), 013-4886447 (Safuan), 019-2049434 (Zuriati),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada masa sama pihaknya akan menghantar dana kecemasan RM100,000 sumbangan rakyat Malaysia untuk bantuan segera kepada rakyat Palestin melalui Pengerusi MCM Palestin Ahmad Abu Ayesh yang berpusat di Gaza. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!