MyAqsa Defenders lancar kempen 100 jam #IsraelCuak

Dari kiri, Ahmad Fahmi, Nadir Al-Nuri dan Ahmad Sani pada sidang media Operasi Taufan Al-Quds dan Serangan Rejim Israel ke atas Gaza di pejabat Mapim pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Dari kiri, Ahmad Fahmi, Nadir Al-Nuri dan Ahmad Sani pada sidang media Operasi Taufan Al-Quds dan Serangan Rejim Israel ke atas Gaza di pejabat Mapim pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] MyAqsa Defenders (MyAd) melancarkan kempen 100 jam #IsraelCuak bagi menggerakkan sokongan masyarakat Malaysia memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

Timbalan Pengerusi MyAqsa Defenders, Dr Ahmad Sani Datuk Abdul Alim ‘Araby berkata, kempen tersebut akan bermula pada 10 Oktober sekitar jam 11 pagi waktu tempatan.

“Kami menjemput orang ramai untuk menyalurkan sokongan dan solidariti dengan menghebahkan kempen ini menerusi poster yang telah diedarkan di Facebook, Instagram dan YouTube.

“MyAd mempersiapkan lebih kurang 16 badan bukan kerajaan (NGO) dengan kapasiti keseluruhan lima juta pengikut untuk bersama bergerak dari Malaysia menyatakan sokongan yang jelas,” katanya dalam sidang media di pejabat Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) di sini pada Isnin.

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin serta Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di sini.

Turut hadir beberapa pempengaruh seperti Haze Huzaimi, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nana Mahazan dan Fedtri Yahya untuk membantu menyokong MyAd.

Pada Sabtu, media antarabangsa melaporkan, pejuang Hamas dan Al-Qassam telah melancarkan serangan balas dengan ribuan roket di sempadan Gaza sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 22 rakyat Israel terbunuh serta ratusan lagi cedera.

Susulan itu, Israel telah membalas serangan pada Ahad terhadap penduduk di Semenanjung Gaza sehingga mengorbankan 413 orang manakala 2,300 lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Ahmad Fahmi, MyAd mencadangkan kerajaan menjaga hubungan baik dengan Mesir supaya bantuan kemanusiaan dapat diberikan dengan segera.

“Keadaan genting ini memerlukan pertolongan semua pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nadir Al-Nuri berkata, bilik gerakan dibuka dan beroperasi selama 24 jam sejak 8 Oktober bagi melaporkan berita daripada lapangan.

“Ia bertujuan untuk menyampaikan berita terkini daripada Gaza kepada rakyat dengan lebih jelas,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!