Noniswara buka mulut isu bermadu, gelaran Datin Seri
NAMA dramatis Datin Seri Noniswara menjadi perhatian sejak beberapa hari lalu selepas perihal rumah tangganya dengan Allahyarham Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad kembali diperkatakan.
Ini berikutan kenyataan anak tirinya, Siti Hajaar yang juga isteri MK K-Clique bahawa ibunya, Sharifah Hasnah Syed Hussin tidak pernah bercerai dengan arwah bapanya seperti didakwa.
Sedar dengan perkara itu, Noniswara berkata, dia sendiri tidak pasti status perkahwinan arwah suami dengan isteri pertama.
"Saya pun tak kisah kalau bermadu, apa salahnya. Orang kata madu itu manis, saya terima kalau daripada awal suami berterus-terang dengan saya (status perkahwinan dengan isteri pertama), tetapi dia tidak berbuat demikian.
"Bukan saya tak nak ambil tahu, saya ini jenis orang yang lurus bendul. Bila benda sudah jadi macam ini, saya terima sebab arwah pun sudah tiada," ujarnya ketika ditemu bual dalam program Melodi.
Tambah Noniswara, dia juga sudah bertemu dengan Sharifah Hasnah ketika suaminya masih menerima rawatan di hospital dan menyifatkan madunya itu seorang yang baik.
"Kalau dia kata masih isteri, saya akui...Kami pun dah bertemu ketika di hospital. Dia seorang wanita yang baik. Saya hormati dia," katanya yang tidak mempunyai masalah untuk menerima anak-anak tirinya dan menganggap mereka seperti satu keluarga.
Mengulas mengenai gelaran Datin Seri yang digunakan sebelum ini, Noniswara berkata, dia tidak pernah 'hadap' dengan gelaran itu.
"Orang nak kata apa, katalah...Saya tahu di mana tempat saya berdiri.
"Bukan gelaran yang jadi keutamaan, saya tak kisah orang panggil saya Nonis. Apa yang penting saya bahagia bersama suami.
"Cuma sebelum ini saya ke mana-mana bawa nama dia, jadi orang panggil saya Datin Seri, itu yang suami nak," jelasnya.
Noniswara mendirikan rumah tangga dengan Sheikh Nordin sejak tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun Allahyarham meninggal dunia pada 1 Oktober lalu selepas sebulan dirawat di sebuah hospital swasta akibat strok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!