Konflik Palestin-Israel tidak akan selesai - Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Konflik antara Palestin dan Israel telah berlaku lebih tujuh dekad itu tidak akan menemui jalan penyelesaian kerana tindak balas negara-negara barat yang berkuasa termasuk media mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara barat dan media mereka bersifat hipokrit, taksub dan patologi kerana memilih untuk meneruskan naratif bahawa serangan ke atas Israel itu sebagai pengganas, namun kesalahan mereka jelas terhadap Hamas, Hizbullah dan Iran.

“Dengan naratif ini, mereka mencetuskan ketakutan dalam masyarakat barat dengan mendakwa ia adalah serangan terhadap demokrasi dan orang yang cintakan keamanan.

“Amerika Syarikat (AS) khususnya berasa wajar untuk memberikan sokongan ketenteraan kepada Israel untuk membalas serangan rakyat Palestin.

“Semua ini jauh daripada kebenaran. Ia adalah pembohongan terang-terangan yang diabadikan tanpa segan silu oleh pemimpin barat dan media mereka,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Isnin.

Berdasarkan laporan Sinar Harian pada Isnin, permusuhan kedua-dua negara itu menjadi semakin tegang apabila tentera Israel membalas serangan mengejut Hamas dengan melancarkan serangan terhadap beberapa kawasan di bumi Gaza termasuk menyasarkan bangunan penempatan rakyat Palestin dan hospital.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, tindakan itu menyebabkan angka korban rakyat Palestin melonjak tinggi serta ribuan tercedera akibat serangan berkenaan.

Tambah Mahathir, Israel telah melakukan jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman yang tidak dapat dibayangkan terhadap rakyat Palestin secara sistematik tanpa jeda selama beberapa dekad.

Artikel Berkaitan:

“Selain tanah Palestin yang diperoleh secara haram melalui perjanjian unilateral dengan bekas penjajah negara ini, Israel turut merampas ladang milik rakyat berkenaan secara paksa. Sebarang percubaan untuk mendapatkan resitusi akan disambut dengan keganasan yang disokong oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

“Rakyat Palestin ditolak ke sudut dan Gaza dijadikan penjara terbuka. Episod ini tidak berbeza dengan tindakan balas dendam sebelum ini kecuali mungkin kali ini mereka lebih fokus kepada bantuan secara luaran.

“Tetapi kuasa Barat meneruskan pembohongan dengan naratif bahawa permusuhan terbabit adalah tindakan keganasan yang dilakukan oleh pengganas dengan mengabaikan hakikat ia adalah pembalasan orang yang inginkan kebebasan dan hak ke atas tanah mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!