Kerajaan digesa laksana PLKN 3.0 dengan lebih sempurna
SHAH ALAM - Kerajaan diminta melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan lebih sempurna menerusi penerapan kurikulum yang menjurus kepada pembinaan negara untuk melatih bakal pemimpin masa hadapan.
Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, PLKN merupakan gabungan daripada latihan ketenteraan dan penanaman nilai patriotik dalam generasi muda ke arah cintakan negara.
Menurutnya, ia berbeza dengan pelaksanaan di beberapa buah negara lain kerana menggunakan modul dan acuan yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya serta ekonomi tempatan.
"Program ini mendatangkan banyak manfaat, generasi muda dapat menyemai nilai patriotik yang semakin luntur dalam kalangan mereka.
"Perubahan masa dan cara hidup masa kini menjadikan mereka leka sehingga tidak tahu erti kesusahan dan penderitaan hidup generasi sebelum merdeka," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan berbeza yang mana anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.
Sehubungan itu, Muhammad Amir Asyraf memaklumkan, pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mengembalikan semula program berkenaan.
Tambah beliau, ia mampu bertindak sebagai makanisme pembentukan disiplin diri yang merupakan asas penting bagi sesuatu kejayaan.
"Program ini dapat mematangkan fikiran mereka selain menguji ketahanan fizikal dan mental.
"Semua pihak terutamanya para remaja dan ibu bapa perlu menyahut seruan kerajaan dengan menyertai PLKN 3.0," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!