Polis Kedah tahan 1,469 individu terlibat judi haram
ALOR SETAR - Polis menahan 1,469 individu disyaki terlibat dalam pelbagai aktiviti perjudian haram di negeri ini menerusi Op Dadu sejak 1 Jan lepas hingga Ahad.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, penahanan itu adalah hasil 1,330 serbuan yang dijalankan di seluruh negeri dengan melibatkan rampasan wang berjumlah RM277,641.
"Di Kedah, tiada lagi premis haram yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian. Polis Kedah konsisten untuk menangani semua aktiviti perjudian haram di negeri ini dan memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung perjudian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Fisol berkata, sejak Januari hingga September tahun ini, sebanyak 73 kertas siasatan tatatertib (KST) telah dibuka atas pelbagai kesalahan yang melibatkan 82 pegawai kanan, pegawai pangkat rendah dan pegawai awam kontinjen Kedah.
"Dari segi tatakelola dan salah laku, Polis Kedah tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang bersekongkol dengan sindiket perjudian atau terlibat dalam kes jenayah termasuk dadah, rasuah atau apa sahaja yang dapat mencalarkan imej polis,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!