Pahang bersolidariti bersama Palestin
KUANTAN - Seluruh rakyat Pahang akan terus bersolidariti demi keamanan dan kesejahteraan rakyat Palestin yang sering menjadi mangsa penindasan dan kekejaman rejim Israel tanpa mendapat pembelaan sewajarnya masyarakat antarabangsa.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri Pahang melahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap konflik terbaharu Palestin-Israel.
Menurutnya, kerajaan Pahang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu serta seluruh masyarakat antarabangsa bersatu hati mengecam dan mendesak agar peperangan yang tercetus sejak 7 Oktober lalu dihentikan segera.
"Hak tanah rakyat Palestin yang dirampas rejim haram Israel sejak 75 tahun lalu juga perlu diserahkan kembali kepada pemilik asalnya.
"Sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat perlu ditubuhkan dengan sokongan negara-negara seluruh dunia," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.
Wan Rosdy turut berdoa semoga rakyat Palestin dilindungi, dikasihi, diberikan kekuatan, ketabahan dan keadilan yang sewajarnya agar mereka dapat hidup aman damai di tanah air sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!