Pandemik Covid-19 peluang Fairos hasil kraf kulit
KUALA KRAI - Usaha pembuat barangan kulit, Fairos Abdullah, 50, dari Taman Guchil Jaya di sini bermula dalam tempoh negara diserang pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.
Fairos yang bekerja sendiri di Kuala Lumpur lebih 13 tahun mengambil keputusan pulang ke kampung untuk berada berdekatan ibu selain mahu memulakan kerja di Kelantan.
Bapa kepada seorang anak tunggal perempuan berusia 16 tahun itu mula memanfaatkan bakat kurniaan ALLAH SWT dengan membuat kraf daripada kulit.
"Pada mulanya saya hanya membuat beg kecil untuk kegunaan sendiri sebelum menarik minat sepupu yang mahu menempahnya," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Isnin.
Fairos memberitahu, sejak itu dia mula menerima tempahan daripada rakan-rakan terdekat selain membuat kraf untuk dijual di pasar karat dan pasar malam.
Antara kraf yang dihasilkan ialah beg sandang, beg duit, sarung pisau dan pemetik api, tempat letak kad nama serta rantai kunci.
Jelasnya, setiap harga bergantung kepada saiz dan pembuatan yang diminta pelanggan.
"Saya menghasilkan barangan kraf 100 peratus buatan tangan termasuk menjahit dan mengukir bahagian tertentu tanpa menggunakan mesin.
"Biasanya harga kraf kulit saya bermula RM10 tetapi ada yang mencecah ribuan ringgit jika pelanggan mahu hasil lebih berkualiti daripada jenis kulit tebal," katanya.
Menurutnya, kulit yang banyak digunakan ialah kulit lembu, burung unta, ular dan kambing yang dibeli secara dalam talian.
Sebagai pembuat kraf yang mementingkan kualiti dan ketelitian, Fairos banyak menggunakan kulit dari Itali dan Jepun yang memang terkenal dengan kraf daripada material itu.
Bagaimanapun pembuat kraf kulit di negara ini katanya, terpaksa bersaing dengan barangan daripada China kerana harganya lebih murah berikutan penggunaan bahan campuran.
Fairos turut berkongsi tips penjagaan barangan kulit iaitu dengan menggosoknya menggunakan lemak ikan yang ada dijual di pasaran supaya tahan lama dan sentiasa berkilat.
"Kulit asli sebenarnya boleh bertahan lebih 100 tahun dan berbaloi digunakan seperti kata orang lama alah membeli menang memakai," katanya.
Tambahnya, ada juga pelanggan yang kembali bertemu dia untuk menempah hasil kraf kerana berpuas hati dengan jahitan tangan dan sanggup membayar lebih walaupun tiada jenama khas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!