Perkenal semula Skim Rumah Pertamaku

Gambar kecil dari kiri: Azizul Adli, Mohd Afzanizam
Gambar kecil dari kiri: Azizul Adli, Mohd Afzanizam
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperkenalkan semula Skim Rumah Pertamaku dalam pembiayaan dan pinjaman untuk perumahan.

Pakar kewangan, Dr Azizul Adli Ahmad berkata, skim perumahan itu membantu golongan pembeli memiliki rumah pertama dengan pembiayaan pinjaman bank sehingga 110 peratus daripada harga hartanah.

Menurutnya, langkah tersebut memudahkan pembeli dalam proses mendapatkan hartanah dan merancakkan kembali ekonomi negara.

“Apabila mikroekonomi dan makroekonomi berkembang serta aliran tunai lancar di pasaran, maka ekonomi negara akan berjalan dengan baik.

“Sekarang boleh lihat pasaran agak perlahan sebab pembiayaan rumah susah, pihak bank tidak begitu mesra pelanggan dan sudah tiada skim perumahan yang memudahkan pembeli,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian berhubung perkara baharu yang boleh diperkenalkan oleh kerajaan mengenai cukai dan pembiayaan pinjaman untuk rumah menjelang Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini.

Azizul Adli yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak mencadangkan, kerajaan perlu bekerjasama dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) serta pemaju lain untuk mengadakan skim perumahan sama seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) diperkenalkan pada April lalu.

Tambah beliau, SJKP merupakan usaha yang baik, namun mungkin boleh diperbaiki dengan mengambil kira cabaran pembeli rumah masa kini iaitu golongan yang tidak mempunyai slip gaji.

Artikel Berkaitan:

“Ada orang yang meniaga tepi jalan atau berniaga sendiri juga mahu mempunyai rumah sendiri. Jadi, kita nak pastikan golongan ini turut mendapat kemudahan pinjaman, kredit dan sebagainya.

“Kerajaan juga mungkin boleh perkenalkan tempoh pembiayaan yang lebih panjang dan minta Bank Negara Malaysia (BNM) kurangkan kadar faedah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, inisiatif mengurangkan duti setem dan kos pemilikan rumah terutamanya bagi golongan pembeli pertama boleh dipertimbangkan dalam Belanjawan 2024 nanti.

Menurutnya, pengurangan duti setem mampu menaikkan jualan hartanah bagi merancakkan sektor tersebut di dalam negara.

Ditanya mengenai cadangan untuk membantu meringankan beban rakyat yang majoritinya mempunyai pinjaman bank, beliau memaklumkan, golongan terbabit digalakkan untuk mendapatkan konsultasi dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Tambahnya, kempen bagi menggalakkan rakyat berkomunikasi secara langsung dengan agensi tersebut mungkin perlu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh di peringkat kerajaan.

“Ini kerana mereka boleh dapatkan khidmat nasihat kewangan terutamanya yang mempunyai bebanan kewangan tinggi,” jelas Mohd Afzanizam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!