Peratusan keluar mengundi turun
SHAH ALAM - Peralihan pengundi Barisan Nasional (BN) kepada Perikatan Nasional (PN) belum cukup membantu kemenangan PN.
Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, ini kerana peratusan keluar mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan pilihan raya kecil (PRK) menunjukkan penurunan.
“Kadar keluar mengundi pada PRU15 (78.6 peratus) berbanding PRK 2023 (72.12 peratus) menunjukkan penurunan sekitar 6.48 peratus.
“Ini menunjukkan sebahagian kecil pengundi dari PRU15 dalam lingkungan kira-kira 1,000 orang tidak turun mengundi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Jelasnya, ini menunjukkan sasaran yang perlu diraih oleh Kerajaan Perpaduan adalah pada 9,339 undi.
“Namun keputusan PRK menunjukkan BN mengekalkan prestasi undi mereka yang lalu sementara PN meraih peningkatan,” katanya.
Pada PRK, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.
Keputusan itu menyaksikan majoriti diperoleh merosot berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.
Tambahnya, dalam konteks ini ia memberi indikasi sekitar satu pertujuh undi BN beralih kepada PN sementara PH membekalkan satu perdua undi mereka kepada BN bagi PRK baru-baru ini.
“Peralihan undi masih belum cukup membantu kemenangan PN tetapi berjaya memberi isyarat tertentu termasuklah memberi tekanan kepada parti kerajaan untuk menangani isu-isu rakyat dengan lebih proaktif dan berkesan,” katanya.
Selain itu, faktor undi Felda yang kompetitif juga berlaku kerana perebutan naratif antara parti bagi menunjukkan siapakah yang sebenarnya menjadi pejuang golongan peneroka khususnya dalam melupuskan hutang peneroka antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Indikasi ketiga juga dalam memahami peralihan undi ini adalah mesej kepada pimpinan parti untuk memperbaiki kualiti kepimpinan dan imej.
“Walaupun PRK melibatkan DUN di peringkat negeri, tetapi isu dan kepimpinan nasional turut memainkan peranan dengan melihat keterlibatan pemimpin nasional juga turun berkempen,” katanya.
Justeru kata Anis, dalam memastikan peralihan ini dapat dipulihkan semula, pucuk pimpinan perlu melakukan penambahbaikan yang sewajarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!