Boleh guna 'tiwikrama', tetapi…

Dalam konteks krisis beras dan konteks komunikasi berkesan, gunakanlah perkataan yang boleh difahami oleh orang kampung. - Foto 123RF (Gambar kecil: Johan Jaaffar)
Dalam konteks krisis beras dan konteks komunikasi berkesan, gunakanlah perkataan yang boleh difahami oleh orang kampung. - Foto 123RF (Gambar kecil: Johan Jaaffar)
A
A
A

SAYA banyak ditanyakan tentang perkataan 'tiwikrama' yang digunakan oleh Perdana Menteri sewaktu bercakap tentang krisis beras negara pada 2 Oktober baru lalu. Beliau memberi jaminan kerajaan akan 'bertiwikrama' untuk meringankan beban rakyat.

Memang dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia, untuk entri perkataan tiwikrama, salah satu daripada dua maknanya adalah 'pengerahan segenap tenaga dan fikiran untuk menyampaikan maksudnya.' Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada halaman 1,701 juga memberikan definisi yang bermaksud 'berusaha sedaya upaya agar mencapai maksud'.

Namun demikian, saya juga diperingatkan oleh seorang tokoh wartawan terkenal dan ahli bahasa dari Indonesia bahawa pengguna Bahasa Indonesia sendiri jarang sekali menggunakan perkataan itu bagi mengungkapkan hasrat kerja kuat atau bersungguh-sungguh.

Saya banyak mengikuti tradisi wayang (performing arts) di Indonesia. Juga wayang yang dibawa dari Indonesia ke mari, di antaranya wayang kulit, wayang wong, wayang geduk dan ketoprak. Dalam tradisi pewayangan Jawa memang perkataan tiwikrama punya makna yang tersendiri.

Secara mudah pengertiannya adalah saat sesuatu watak menjadi marah lalu 'habis kesabaran dan kebijaksanaannya.' Ini terlihat dalam kisah Pendawa Lima yang merupakan penyesuaian atau adaptasi dari kitab Hindu tersohor Mahabharata. Kisah pergeseran klasik di antara kerabat Pandava dan Kaurava dalam kitab itu dijelmakan dalam versi Indonesia sebagai Pendawa Lima.

Dalam tradisi wayang kulit purwo terdapat banyak watak yang boleh menjalani proses tiwikrama, di antaranya Prabu Wisnu, Prabu Krisna dan Prabu Arjuna. Dalam konteks Prabu Krisna, dua kali watak ini melakukan tiwikrama. Pertama, ketika mencuri Dewi Rukmini dan yang kedua ketika menuntut semula Negara Hastinapura yang menurutnya menjadi hak Kaum Pendawa.

Akibat transformasi itu Prabu Krisna boleh merobohkan kraton Hastinapura. Prabu Arjuna misalnya bertiwikrama bagi menahan air Sungai Gangga untuk membolehkan permaisurinya mandi dan berenang di sungai itu.

Proses tiwikrama menjadikan watak yang baik menjelma jadi Brahala, mahkluk yang ngeri, jelek dan ganas. Ritual tiwikrama untuk menjadi Brahala ini bertujuan untuk mengeluarkan kesaktian watak berkenaan serta memberikan kekuatan yang luar biasa.

Hanya dengan 'marah besar' hal itu dapat dilakukan. (Mungkin watak kebudayaan popular semasa yang sama adalah 'Incredible Hulk'). Saya tidak percaya Anwar mahu menjadi makhluk penuh kesaktian dalam konteks menangani krisis beras negara.

Artikel Berkaitan:

Saya bukan pakar bahasa tetapi seorang pengguna bahasa. Pengalaman saya bukan sahaja sebagai penulis kreatif dan penulis rencana tetapi juga sebagai wartawan. Pengalaman saya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama lebih 15 tahun dan menjadi ahli Lembaga Pengarah dan kemudian Pengerusi organisasi itu memberikan saya sedikit sebanyak pemahaman tentang kuasa kata (the power of words) dan proses pembinaan korpus Bahasa Melayu.

Pada pendapat saya selain daripada makna, sesuatu kata harus dilihat dalam dua kerangka. Pertama, konteks, kedua relevannya. Kosa kata adalah asas bahasa. Bahasa adalah wahana atau alat komunikasi. Kita berkomunikasi dalam bentu verbal dan bukan verbal. Dalam konteks verbal, kita menggunakan kata-kata.

Tentulah sesuatu perkataan itu harus dilihat dalam konteksnya. Ambil sahaja contoh perkataan 'hijrah', yang menurut kamus bermakna 'pindah' atau meninggalkan satu tempat untuk pergi ke tempat yang lain.

Tetapi perkataan ini harus dilihat dalam konteks etimologi (etymology) atau asal usul kata, yakni, perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Medina. Jadi, walaupun maknanya pindah, kita tidak boleh menggunakan hijrah untuk mengatakan 'Kumpulan perompak itu beramai-ramai berhijrah ke Kuala Lumpur.'

Kedua, adalah aspek relevannya. Dalam konteks komunikasi kita harus memberikan makna yang setepatnya pada sesuatu perkataan. Maksudnya, jikalau sesuatu perkataan itu tidak difahami oleh kebanyakan rakyat, maka elakkanlah daripada menggunakannya.

Bukanlah saya bermaksud kita tidak boleh memperkenalkan perkataan baharu ke dalam penggunaan harian. Malah penampilan perkataan dan frasa baharu akan memastikan dinamisme dan kelangsungan sesuatu bahasa. Bahasa yang tidak menambah daftar data dan frasa akan mati seperti Latin, Grik dam Sanskrit.

Oleh sebab itu sewaktu memimpin sebuah syarikat akhbar pada tahun 90-an saya memperkenalkan 'Indeks Sungai Balang'. Sungai Balang adalah nama kampung saya, 27 kilometer dari bandar terdekat, Muar. Prinsip Indeks ini mudah, 'apa-apa perkataan atau frasa yang tidak difahami oleh orang kampung saya, jangan digunakan.'

Bagi saya itu prinsip pertama komunikasi – difahami agar mesejnya sampai. Bagaimanapun sekiranya kita bercakap tentang ilmu perubatan, astrofisik, perundangan, kejurutraan atau bisnes, tentunya kita menggunakan laras bahasa yang lain.

Saya amat faham pentingnya kita memperkaya bahasa kebangsaan. Memang proses pembinaan korpus bahasa Melayu sama kritikalnya dengan memastikan kemajuan negara. Saya bangga bahawa DBP telah melahirkan Kamus Dewan Perdana setebal 2,529 halaman. Kamus ini mengandungi 120,000 entri. Ia merupakan hasil penat lelah selama 57 tahun yang bermula sejak tahun 1963.

Pada bulan April 2009, perkataan kesejuta tersenarai dalam perbendaharaan Bahasa Inggeris. Oxford English Dictionary (OED) kini mempunyai 20 jilid, 12,730 halaman bercetak dengan 59 juta kata dan 2.4 juta entri.

Apakah sesorang perlu mengetahui kesemua perkataan dalam OED untuk menjadi penulis atau pengguna bahasa yang terbaik? William Shakespeare dianggap penulis paling hebat yang menulis dalam Bahasa Inggeris.

Menurut buku The Complete Works of Shakespeare, beliau menggunakan secara keseluruhannya 936,443 perkataan untuk semua karyanya, termasuk di dalam 37 buah drama dan ratusan puisinya. Tetapi jikalau dianalisis, beliau hanya menggunakan 27,870 perkataan yang berasingan dalam semua karyanya. Ini maksudnya perbendaharaan kata beliau hanya sebanyak itu, tetapi beliau adalah penulis terbesar dalam Bahasa Inggeris.

Bagi saya, tidak ada salahnya menggunakan perkataan tiwikrama. Atau tantangan, tuntas, galau, ketimbang, purbasangka, hubaya, kendatipun, rencat dan lain-lain. Cuma pada pandangan saya, dalam konteks krisis beras seperti yang sedang dihadapi oleh negara sekarang, dan dalam konteks komunikasi berkesan, gunakanlah perkataan yang boleh difahami oleh orang kampung saya.

*Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi kolumnis untuk Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewa Budaya, selain akhbar Berita Minggu, New Straits Times, The Star selain Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!