Bawa aura Spurs ke Wales

BEN DAVIES
BEN DAVIES
A
A
A

PEMAIN pertahanan Tottenham Hotspur, Ben Davies telah mengambil alih jawatan kapten Wales dan berharap semangat Spurs yang ketika ini berada di puncak Liga Perdana Inggeris dapat turut berlaku untuk pasukan negaranya pada kelayakan Euro 2024.

Davies menggantikan Aaron Ramsey yang cedera sebagai kapten untuk perlawanan persahabatan Khamis ini dengan Gibraltar dan perlawanan kelayakan Euro menentang Croatia di Cardiff pada Isnin depan.

Davies telah digunakan oleh bos baharu Spurs, Ange Postecoglou sebagai pemain gantian pada musim ini tetapi pemain berusia 30 tahun itu berkata, dia tiba untuk tugasan antarabangsa dengan semangat yang baik.

“Pemain mahu berada dalam pasukan yang menang dan sekarang saya cukup bertuah kerana saya berada dalam skuad di mana kami memperoleh keputusan yang baik dan bermain dengan baik.

"Ia mengenai membawa semangat itu dan perkara yang bagus ke dalam kem latihan minggu ini.

“Perlawanan Gibraltar adalah penting kepada kami sebagai satu kumpulan dan kami mendapat peluang bermain di atas padang.

“Mudah-mudahan kami mendapat satu lagi keputusan bagus yang memberikan kami keyakinan untuk menghadapi perlawanan besar menentang Croatia,” katanya.

Pemain tengah Cardiff, Ramsey mengalami kecederaan lutut dan akan turut diketepikan untuk perlawanan terakhir kelayakan Euro menentang Armenia dan Turki bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan satu kehilangan besar bagi pasukan Wales yang juga tanpa rakan sepasukan Davies di Tottenham, Brennan Johnson kerana kecederaan dan memerlukan keputusan positif menentang Croatia untuk mengekalkan harapan automatik untuk layak ke Euro di Jerman.

“Aaron seorang pemain yang hebat dan tanpanya sudah pasti satu tamparan. Ia memberi peluang kepada pemain lain untuk menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan dan kami teruja untuk perlawanan itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!