Pemerintah Afrika Selatan sokong Hamas

Penduduk di Cape Town menyertai protes anti-Israel sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin yang ditindas secara aparteid yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa. - Agensi
Penduduk di Cape Town menyertai protes anti-Israel sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin yang ditindas secara aparteid yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa. - Agensi
A
A
A

JOHANNESBURG - Parti pemerintah Afrika Selatan menegaskan tindakan Hamas menyerang Israel tidak mengejutkan kerana rejim Zionis terus menjajah tanah Palestin.

Kongres Nasional Afrika (ANC) menerusi jurucakapnya, Mahlengi Bhengu-Motsiri berkata, pejuang Palestin tidak mempunyai banyak pilihan selain memilih ‘kebangkitan perang’ sebagai cara menamatkan keganasan dan penaklukan berterusan Israel.

Menurut Mahlengi, ANC mewajarkan sokongan kemanusiaan terhadap Genting Gaza dan Tebing Barat kerana wilayah didominasi penduduk Islam itu telah sekian lama ditindas iaitu situasi sama dialami penduduk berkulit hitam di Afrika Selatan semasa era aparteid.

“Perlakuan ganas dan diskriminatif Israel ke atas warga Palestin memenuhi seluruh ciri aparteid yang melanggar undang-undang antarabangsa.

“Sebagai orang Afrika Selatan, kami enggan berdiam diri ketika aparteid sedang berlaku dan dilakukan lagi,” katanya.

Justeru, katanya, ANC tidak boleh berselindung dan perlu berdiri bersama rakyat Palestin kerana keadaan keselamatan yang merosot secara terang-terangan berpunca daripada pendudukan haram Israel.

Aparteid merujuk kepada sistem pemisahan kaum di Afrika Selatan yang berakhir pada tahun 1994.

Israel telah mengamalkan rejim sama terhadap rakyat Palestin sejak 1948, apabila ia merampas tanah dan mengisytiharkan kewujudannya di seluruh Palestin selepas perang yang disokong Barat.

Artikel Berkaitan:

Peperangan itu turut menyaksikan berpuluh ribu rakyat Palestin telah diusir secara paksa dari rumah mereka dan beribu-ribu terbunuh.

Zionis melancarkan satu lagi perang seumpama itu pada 1967 dan merampas wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur. - Agensi

----------

INFO:

- Parlimen Afrika Selatan pada Mac lalu sebulat suara memutuskan untuk mengurangkan kepentingan kedutaan negara itu di Israel, ekoran penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin.

- Parti Kebebasan Nasional (NFP) yang memperkenalkan draf resolusi berkata, langkah itu semestinya disokong pemimpin anti-aparteid, mendiang Nelson Mandela.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!