Johan Lange pengarah teknikal baharu Spurs
TOTTENHAM Hotspur mengumumkan pelantikan Johan Lange sebagai pengarah teknikal yang baharu bagi menggantikan Fabio Paratici yang melepaskan jawatannya sebagai pengarah urusan kelab itu pada April lalu.
Lange pernah bersama Aston Villa sejak musim panas 2020 akan mula berkhidmat bersama Spurs pada 1 November ini.
“Johan (Lange) telah menunjukkan rekod prestasi cemerlang dalam mencari bakat dan menandatangani ramai pemain muda serta senior yang berbakat,” ujar kelab tersebut pada Selasa.
Paratici sebelum ini dikenakan larangan daripada berkhidmat di Itali selama dua setengah tahun bermula Januari lalu.
Ia selepas bekas kelabnya, Juventus didapati bersalah atas perakaunan palsu dan penggantungannya kemudian dilanjutkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Mac lalu.
Kehadiran Lange pada 1 November ini adalah antara usaha penyusunan semula kelab itu selepas ketua pegawai bola sepak Spurs, Scott Munn secara rasmi menyertai Manchester City bulan lalu.
Ketua pasukan pencari bakat Spurs, Leonardo Gabbanini turut meninggalkan kelab itu sehari kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!