Projek Pan Borneo di Sabah akan disegerakan - PM

ANWAR
ANWAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah akan disegerakan susulan kemajuan projek itu amat perlahan berbanding di Sarawak.

Sehubungan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyegerakan pembinaan bagi memastikan pembinaan lebuh raya itu tidak tertangguh, sekali gus memenuhi janji kepada rakyat negeri terlibat.

Selain itu beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof juga ditugaskan untuk menyelia perkembangan projek tersebut.

"Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan dipersetujui untuk 'fast track' (disegerakan). Asalkan ada proses perolehan dan tender, kita lakukan 'fast track' terutama di Sabah.

"Ini disebabkan projek Pan Borneo sudah berpuluh tahun tertangguh dan peruntukan ada. Oleh kerana kita sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak, tiada alasan untuk lengahkan.

“Malah ketika Kembara (Kenali Borneo) Yang di-Pertuan Agong ( Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) perkara yang dibangkitkan setiap kali baginda berhenti di mana-mana pusat adalah mengenai Pan Borneo lebih bermasalah di Sabah dan keduanya, jalan yang teruk. Kadang-kadang, peruntukan disampaikan tetapi kelewatan dalam pelaksanaan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai kelewatan projek Pan Borneo Sabah berbanding di Sarawak yang sudah hampir siap, selain masalah bekalan air yang berterusan disebabkan isu ketirisan.

Sementara itu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi pembangunan kawasan sempadan di Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peruntukan tersebut digunakan bagi mempercepat pembangunan infrastruktur asas dan keselamatan seperti Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS), pos keselamatan dan lain-lain bagi memastikan pembangunan sempadan di Malaysia setara dengan pembangunan sempadan negara jiran.

“Bagi tahun 2023, Kerajaan telah meluluskan sejumlah 17 projek sempadan iaitu lapan di Sabah dengan kos projek RM82.2 juta dan sembilan di Sarawak dengan kos projek RM88.2 juta untuk dimulakan segera.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan juga akan terus memanfaatkan platform kerjasama subserantau sedia ada seperti Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) dan Brunei-Indonesia-Malaysia-Phillippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) untuk meneroka peluang dan potensi bagi menggalakkan aktiviti ekonomi merentas sempadan dengan negara-negara jiran,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!