Palestin sah tarik diri
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Palestin menarik diri daripada saingan Pestabola Merdeka yang akan bermula pada Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, kejohanan itu akan kekal dengan format asal dan hanya akan disertai tiga pasukan iaitu Malaysia, India dan Tajikistan.
Menurutnya, Palestin terpaksa menarik diri kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur susulan situasi tegang di negara berkenaan.
Beliau berkata, masa juga agak suntuk untuk mencari pasukan pengganti kerana negara lain sudah mempunyai lawan masing-masing.
"Kami mendapat pengesahan jam 2 pagi (pada Selasa), jadi untuk mencari pasukan lain susah sebab mereka sudah ada perancangan masing-masing," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
Berdasarkan jadual asal, Palestin dijadual bertemu Tajikistan pada 4.30 petang manakala Malaysia berdepan India (9.00 malam) pada Jumaat ini.
Dua pasukan yang tewas akan merebut tempat ketiga manakala dua pasukan yang menang akan ke final pada Selasa depan dengan kesemua empat perlawanan tersebut di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Mohd Firdaus berkata, berdasarkan situasi terbaharu itu, Malaysia kekal akan bertemu India pada Jumaat ini di Stadium Nasional manakala Tajikistan kini mendapat 'bye' dan akan terus layak ke Final pada Selasa.
"Ini bermakna, hanya satu perlawanan akan berlangsung pada Jumaat dan satu perlawanan pada Selasa iaitu tiada perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari tersebut.
"Perubahan format tersebut adalah solusi terbaik yang telah dicapai pada mesyuarat khas di antara FAM selaku penganjur Pestabola Merdeka 2023 bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan, pagi tadi selepas mengambil kira kekangan masa berikutan penarikan diri pasukan Palestin," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, FAM mengambil keputusan untuk mengekalkan harga tiket berkenaan (bagi semua kategori) biarpun kini membabitkan hanya satu perlawanan pada setiap hari perlawanan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!