Iman boleh lusuh dan usang, ini cara untuk perbaharuinya
INGATKAN lesen dan permit sahaja yang ada tempoh tamatnya, rupanya iman seseorang juga boleh lusuh dan usang.
Memang benarlah frasa ‘iman tak dapat diwarisi’ sebagaimana didengari dalam lirik lagu nasyid sebelum ini.
Cahaya iman itu kita sendiri yang perlu mencarinya. Ia tidak datang bergolek begitu sahaja dan perlu disulami dengan amal soleh.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkongsikan cara untuk memperbaharui iman menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Jelas beliau, iman seseorang luntur menjadi lusuh dan usang disebabkan kerana dosa serta maksiat dilakukan.
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya iman boleh menjadi lusuh di dalam jiwa sebahagian daripada kamu sebagaimana lusuhnya pakaian. Maka mohonlah kepada ALLAH agar diperbaharui iman di dalam hati kamu.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan at-Tabarani)
Ujar ahli akademik itu, Nabi Muhammad SAW pernah memberikan panduan kepada para sahabat untuk memperbaharui iman mereka.
Caranya adalah dengan galakan mengungkapkan zikir Lailaha illallah (lafaz tahlil).
Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu memperbaharui iman kamu. Lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah: “Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami?” Rasulullah lantas menjelaskan: “Dengan memperbanyakkan menyebut (zikir) Lailaha illallah.” (Hadis Riwayat Ahmad)
“Kalimah tahlil itu sebenarnya mengandungi ikrar tauhid dan pengabdian kita kepada ALLAH SWT.
“Maka apabila ia lebih dikerap diulangi, lebih banyak kita mengingatkan diri bahawa manusia dijadikan untuk mengesakan dan mengabdikan diri kepada ALLAH SWT,” terangnya panjang lebar.
Sebenarnya terlalu banyak kelebihan apabila kita berzikrullah.
Antaranya kata Dr Ahmad Sanusi, jiwa yang sentiasa berzikir disifatkan sebagai jiwa yang hidup.
“Dalam Hadis Riwayat al-Bukhari ada dinyatakan bahawa perumpamaan orang yang berzikir mengingat ALLAH dengan orang yang tidak berzikir adalah seumpama orang yang hidup dan orang yang mati.
“Disebabkan itu, perbaharuilah iman kita dengan ucapan mulia zikir Lailaha illallah. Hayatilah maksud kalimah yang diungkapkan agar kita menjiwai ikrar dan taat setia ini. Mudah-mudahan lafaz berkenaan mendekatkan diri kita kepada ALLAH SWT,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!