PDRM tahan Roger Ng bantu siasatan skandal 1MDB - KPN
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuat tangkapan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa berkait dengan siasatan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan terhadapnya dibuat pada Isnin (9 Oktober) dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Polis masih lagi jalankan siasatan bagi tujuan pemulihan aset milik 1MDB dan kita harapkan kerjasama yang sangat baik daripada Roger Ng.
“Polis difahamkan telah pun dijatuhkan hukuman di Amerika Syarikat (AS) dan kita dibenarkan untuk bawa pulang dia (Roger Ng) kerana dia masih lagi dalam siasatan PDRM,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini pada Selasa.
Tegas Razarudin, tumpuan PDRM adalah bagi memastikan kesemua aset kerajaan dan hak rakyat dapat diperoleh semula sama ada di luar mahupun dalam negara.
“Kita juga akan teliti segala aspek termasuk modus operandi bagaimana bond-bond ini dijual dan berapa komisen yang diterima ini semua perlu kita ketahui daripada Roger Ng sendiri.
“PDRM masih lagi berusaha mendapatkan harta-harta daripada 1MDB yang berjumlah RM93.2 juta yang ada di Singapura dan Amerika Syarikat serta akaun-akaun untuk pemulihan aset,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Razarudin menjelaskan tiada keperluan untuk memasang peranti pemantauan elektrik (EMD) terhadap Roger seperti yang dilakukan terhadapnya di AS.
Jelas beliau, PDRM tidak mempunyai keperluan mendesak untuk melaksanakan perkara itu selain situasinya berbeza di AS berikutan individu berkenaan telah pun dijatuhkan hukuman.
Sebelum ini, media melaporkan Roger Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, AS kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB.
Beberapa agensi penguat kuasa Malaysia turut menunggu kepulangan Roger Ng untuk melengkapkan siasatan masing-masing membabitkan skandal 1MDB. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!