Harimau Malaya perlu menang lawan India
HARIMAU Malaya perlu melakar kemenangan ke atas India yang berada di ranking ke-101 dunia pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka, Jumaat ini dan mara ke final sekiranya tidak mahu bermain hanya satu perlawanan dalam kejohanan itu.
Penarikan diri Palestin susulan situasi tegang di negara berkenaan menyaksikan kejohanan yang sepatutnya berlangsung empat perlawanan terpaksa disingkatkan kepada tiga perlawanan.
Malaysia yang berada di ranking ke-134 dunia kekal akan bertemu India pada Jumaat ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil manakala Tajikistan (110) kini mendapat 'bye' dan akan terus layak ke final pada Selasa.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk bola sepak negara itu tetap menaruh harapan bahawa skuad negara dapat mengharungi dua aksi kompetitif dalam kejohanan itu.
"Kita mempunyai kurang perlawanan, tetapi kalau kita mampu menewaskan India, kita akan bermain menentang Tajikistan.
"Kita perlu cuba dengan apa pun yang kita ada dan berharap pasukan kebangsaan boleh bermain dua perlawanan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Perlawanan yang bertaraf tier 1 itu merupakan pentas buat pengendali negara, Kim Pan-gon menyediakan pasukan untuk menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November dan Piala Asia di Qatar pada Januari tahun depan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, FAM akan lebih berhati-hati untuk memilih pasukan yang akan beraksi di Pestabola Merdeka kerana sebelum ini Lebanon juga menarik diri daripada menyertai kejohanan itu.
"Pengendali pasukan kebangsaan (Kim Pan Gon) mahu bermain dengan pasukan yang berada di kedudukan 100 ke atas dan kami merasakan pasukan ini sesuai tetapi malangnya disebabkan situasi yang tidak dijangka terpaksa menarik diri.
"Kami tidak dapat bermain dalam format round-robin kerana pasukan tidak mendapati ia sesuai jadi kami terpaksa berpegang kepada format dengan pemenang perlawanan Malaysia-India menentang Tajikistan.
"Kita juga perlu berhati-hati pada masa hadapan apabila memilih pasukan yang bertanding dalam kejohanan ini. Ada kalanya ada perkara yang tidak boleh dielakkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!