JPN Terengganu hasilkan alat rakaman cap jari manual
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu mencipta inovasi dengan menghasilkan alat rakaman cap jari secara manual bagi mendapatkan salinan yang lebih jelas dan berkualiti.
Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, inovasi di bawah projek Cap Ibu Jari 1 Shot (CIJ 1Shot) itu tercetus berikutan maslaah yang timbul semasa proses pengambilan cap jari pelanggan secara manual sama ada ketika berurusan di lapangan atau di pejabat.
"Kita mengenalpasti masalah antaranya cap jari yang diambil kebanyakannya tidak menepati spesifikasi pengambilan iaitu cap jari kotor, tidak jelas, senget dan sebagainya.
"Jadi, KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif) Nasz Kreatif JPN Terengganu mengambil inisiatif menggunakan teknik 'design thinking' untuk menghasilkan inovasi dalam pengambilan cap jari secara manual sekali gus membantu menyelesaikan masalah tersebut," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.
Beliau berkata, walaupun JPN telah melaksanakan rakaman cap jari melalui sistem biometrik, masih terdapat keperluan mengambil cap jari secara manual.
Katanya, pengambilan cap jari perlu dilakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan rakaman yang jelas dan berkualiti kerana cap jari merupakan rekod kekal yang akan menjadi bahan bukti berdokumen bagi tujuan pengecaman individu dan pengenalan diri.
Ujarnya lagi, hasil inovasi melibatkan tempoh pelaksanaan selama enam bulan itu bersaiz 16 sentimeter (sm) panjang dan 8 sm lebar dengan ketebalan 2.8 sm.
"CIJ 1Shot terdiri daripada beberapa bahan iaitu kulit buku, tisu, papan kad dan dakwat yang digabungkan menjadi satu alatan khas dengan modal hanya RM30.45.
"Projek CIJ 1Shot menggunakan bahan kitar semula dan mengutamakan aspek mesra pengguna di mana dapat menjimatkan masa serta saiznya yang praktikal mudah dibawa ke mana-mana," katanya.
Selain itu, katanya, alatan itu dapat meningkatkan produktiviti serta melahirkan pekerja yang kompeten.
"CIJ 1Shot telah terbukti keberkesanannya dalam usaha membantu pihak berkuasa membuat pengesahan identiti jenazah-jenazah yang terlibat tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman dalam kejadian awal Julai lalu melalui proses padanan cap jari.
"Usaha ini dapat menyegerakan pengesahan identiti dan urusan pengebumian jenazah-jenazah yang terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!