Gaji bersesuaian tingkat kualiti, disiplin anggota polis
SHAH ALAM - Kadar gaji yang bersesuaian dengan kos hidup semasa dilihat mampu meningkatkan kualiti kerja dan disiplin anggota serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setiausaha Agung Persatuan Veteran Polis Malaysia, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata, pihaknya menyokong penuh usaha dan inisiatif proaktif Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan yang perlu melibatkan skim gaji polis terutamanya bagi Pegawai Rendah Polis (PRP).
Beliau berkata, gaji asas konstabel polis RM1,441 yang kini berada di bawah paras panduan gaji minimum RM1,500 yang diumumkan kerajaan seharusnya wajar dikaji semula.
"Cadangan yang telah disampaikan Ketua Polis Negara amat bersesuaian dan bertepatan dengan misi kerajaan yang mahu mengurangkan jurang ekonomi di antara rakyat berpendapatan rendah dan juga tinggi.
"Melihat daripada perspektif Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan pelbagai penugasan dalam menjamin keselamatan dan keamanan di dalam negara," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, kadar gaji asas ini dilihat wajar ditambah baik selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan membasmi kemiskinan dilaksanakan secara serius dan bersesuaian dengan konsep Malaysia Madani.
"VPOL juga mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji skim gaji Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara menyeluruh.
"Ia perlu melihat kepada tempoh masa penugasan dan cabaran penugasan semasa termasuk cabaran ekonomi yang dihadapi oleh pegawai polis dalam menjalankan tugas mencegah jenayah dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia," katanya.
Tambah beliau, sekiranya kajian ini dijalankan maka hasil daripada kajian serta penambaikan skim gaji ini dapat membantu kerajaan meningkat lagi kualiti kerja, disiplin dan integriti pegawai pasukan PDRM.
Pada Sabtu, Razarudin mendedahkan tangga gaji permulaan anggota polis berpangkat konstabel berada di bawah paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.
Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya skim gaji permulaan bagi Konstable (YA1) diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.
Ini termasuk cadangan kenaikan penambahan 30 peratus daripada kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) dan kenaikan satu KGT 'one off' bagi kumpulan pengurusan profesional kepada skim pegawai kanan polis iaitu YA13 hingga YA24A serta penyelarasan semula kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) yang diterima pegawai dan anggota berbeza mengikut kategori bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!