Penganggur dipenjara dua tahun, guna gelaran Datuk Seri palsu

Imran mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Selasa atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri palsu.
Imran mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Selasa atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri palsu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan gelaran palsu Datuk Seri di Bandar Penawar pada 2018.

Imran Tolot, 50, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan bapa kepada tiga anak itu telah menggunakan gelaran Datuk Seri Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang tanpa menerima sebarang anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran tersebut dari Pahang Darul Makmur bagi maksud perniagaan tanpa kebenaran bertulis daripada Kebawah DYMM Sultan Pahang.

Perbuatan itu dilakukan pada 19 April 2018 kira-kira jam11 pagi di Hotel Amansari Bandar Penawar, dekat sini.

Untuk itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran Atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 3(3) enakmen yang sama dibaca bersama Seksyen 17 akta kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Sabit kesalahan boleh dihukum denda antara RM250,000 sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Imran memohon kepada mahkamah agar memberikan hukuman yang minimum kerana mempunyai tiga anak yang masih bersekolah selain menghidap kencing manis dan urat saraf yang boleh menyebabkan lumpuh.

Artikel Berkaitan:

Dia merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman denda kerana tidak memiliki wang Disebabkan tidak bekerja selain memberikan hukuman penjara minimum.

Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata, kesalahan dilakukan tertuduh menyalahgunakan gelaran palsu itu telah mencemarkan nama Institusi Kesultanan Pahang jika tidak dicegah kesalahan sama boleh diulang orang lain.

Hayda Faridzal kemudian menetapkan hukuman penjara selama dua tahun bermula tarikh tangkapan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Nik Azaham Nik Aziz berkata, lelaki tersebut ditahan pada 4 Oktober lalu selepas dipercayai terlibat dalam menawarkan kontrak membekalkan makanan di Projek Rapid Petronas Pengerang yang tidak wujud.

"Hasil dari siasatan yang dijalankan mendapati suspek bergiat aktif di Johor dengan menawarkan tender kontrak membekalkan makanan untuk Projek Rapid Petronas Pengerang, Kota Tinggi pada sekitar tahun 2018 sehingga tahun 2019.

"Mangsa dikehendaki membuat bayaran berjumlah RM100,000 bagi mendapatkan kontrak membekalkan makanan tersebut. Semasa memperdayakan mangsa, suspek telah memperkenalkan dirinya sebagai Datuk Seri bagi meyakinkan mereka bahawa kontrak makanan tersebut boleh memberi pulangan yang lumayan.

"Pihak polis telah merampas satu kad ahli Setia Diraja Pahang atas nama suspek, satu unit telefon bimbit dan beberapa dokumen semasa tangkapan dijalankan. Hasil semakan mendapati suspek tidak dikurniakan gelaran Datuk Seri oleh mana-mana Institusi Diraja," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!