DUN Negeri Sembilan lulus usul tolak jenayah kejam Israel
SEREMBAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Selasa sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk tindakan kejam rejim zionis Israel yang mencetuskan pergolakan terkini di Palestin.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan usul itu memohon Ahli Dewan Undangan Negeri menyatakan ketegasan serta mengutuk siri kekejaman dan keganasan Israel yang dengan terang melanggar undang-undang dan hak asasi manusia termasuk mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa.
"Sesungguhnya dunia terkesan dengan perkembangan terbaharu konflik di Semenanjung Gaza yang menggugat keselamatan dan keamanan rakyat Palestin. Justeru, dewan dimohon untuk menuntut masyarakat antarabangsa bertanggungjawab dan mengambil tindakan segera mengatasi krisis ini.
"Satu tekanan antarabangsa perlu dilakukan segera bagi menghentikan segala kegiatan yang melanggar undang-undang dan hak asasi kemanusiaan seperti ini, semua pihak perlu menghormati hak dan kedaulatan rakyat Palestin di atas muka bumi mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata, atas prinsip itu, semua wakil rakyat diseru menyalurkan bantuan kemanusiaan dengan segera selain meluluskan tabung amanah kutipan sumbangan daripada orang ramai dan swasta bagi membantu rakyat Palestin.
Aminuddin berkata, untuk tujuan itu juga tabung di seluruh masjid di negeri ini akan digerakkan selama sebulan, manakala solat hajat bagi kesejahteraan rakyat Palestin akan diteruskan selain mengesyorkan khutbah khas Jumaat ini adalah berkaitan Palestin.
Sementara itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Pertang) ketika membahaskan usul itu berkata, apabila melibatkan isu kemanusiaan, semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang perlu mengenepikan sebarang perbezaan politik yang ada.
Katanya, tindakan zalim, kejam dan ganas yang menimpa rakyat Palestin selama ini tidak boleh dimaafkan dan pencerobohan demi pencerobohan ke atas Gaza serta pendirian Israel menjadikan Palestin sebagai ‘padang jarak padang tekukur’ sememangnya perlu ditentang.
"Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Sembilan agar bersama-sama memberikan sokongan dan bersolidariti terhadap malapetaka yang menimpa rakyat Palestin.
"Misi bantuan kemanusiaan hendaklah digerakkan dengan segera selain memperbaharui komitmen Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin. Kita perlu bersama-sama memberikan sokongan penuh terhadap mana-mana badan bukan kerajaan dalam misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan,” katanya.
Jalaluddin yang juga Exco Kanan negeri turut menggesa kuasa besar dunia supaya tidak lagi mendiamkan diri dengan menjadi penakut, pengecut dan hanya menjadi pemerhati, sebaliknya mereka perlu campur tangan serta mempertahankan kedaulatan negara Palestin.
Senada dengan beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang turut meminta orang ramai untuk tidak menimbulkan salah faham terhadap perkara tersebut kerana ia bukan isu agama tetapi hal kemanusiaan yang perlu diambil perhatian.
"Ini isu kemanusiaan yang berlaku selama 78 tahun, orang Palestin terhina, negara dijajah, mereka dikeluarkan dari kampung halaman tanpa pembelaan. Kita tak boleh kata mereka pengganas, ini kerana mereka nak dapatkan tanah air mereka semula.
"Jadi, amat bertepatan usul dibawa pada hari ini, kita mesti memutuskan dan membuat resolusi mengutuk sekeras-kerasnya apa yang dilakukan zionis.
"Semalam, dua siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) warga Palestin meninggal dunia di kampung halaman mereka kerana kekejaman itu, apakah Malaysia dan negara merdeka dalam dunia ini hanya tutup mata dan berdiam diri melihat Israel melakukan pembunuhan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!