Belanjawan 2024: Peruntukan lebih baik bantu ramai sertai TVET
ALOR SETAR - GiatMara mengharapkan peruntukan lebih baik dapat diberikan kepada agensi tersebut dalam Belanjawan 2024 agar lebih ramai belia dapat ditawarkan menyertai program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Ts Ahmad Hamdi Ibrahim berkata, golongan belia di negara ini mempunyai kemahiran yang baik dan jika peluang disediakan, mereka mampu membawa negara ke tahap lebih tinggi.
Menurutnya, ramai lepasan GiatMara berjaya meningkatkan ilmu dalam sistem TVET, mendapat pekerjaan dengan gaji yang baik dan ada di kalangan mereka juga menceburi diri dalam bidang keusahawanan.
"Bagi tahun ini, kita ada lebih 17,000 pelatih sepenuh masa dan jangka pendek dan jika dilihat pengambilan pelajar baharu untuk tahun depan juga ramai.
"Ini kerana golongan belia sekarang menjadikan TVET sebagai laluan utama untuk kerjaya pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Graduasi GiatMara Malaysia Ke-36 bagi Zon Utara yang melibatkan 713 graduan dari negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Penyampaian skrol kepada graduan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Pendidikan), Rohayah Mohd Zain.
Mengulas lanjut Ahmad Hamdi berkata, beberapa kursus baharu telah ditawarkan kepada mereka yang berada di Zon Utara berdasarkan kepada keperluan semasa.
Menurutnya, antara kursus ditawarkan adalah Kursus Penyelenggaraan Jentera Pertanian di Kuala Kedah, Kedah bagi memenuhi keperluan tenaga pekerja bagi menyokong bidang pertanian.
"Selain itu, Kursus Family Care Services di GiatMara Jelutong, Pulau Pinang yang melibatkan kemahiran berkaitan penjagaan kanak-kanak dan kedua penjagaan orang tua atau warga emas.
"Kemahiran ini dapat membantu pelatih untuk mencari pekerjaan selepas graduasi," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!