Bilangan penganggur turun, kadar kekal 3.4 peratus pada Ogos

Sektor pembuatan turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada Ogos. - Foto hiasan/Bernama
Sektor pembuatan turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada Ogos. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bilangan penganggur menurun 0.3 peratus pada Ogos lepas kepada 577,300 orang berbanding 579,200 orang pada bulan sebelumnya, manakala kadar pengangguran kekal pada 3.4 peratus, demikian menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia Ogos 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sempena laporan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu pada Selasa berkata, pasaran buruh stabil pada Ogos 2023 dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.

Beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada tempoh tersebut meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 16.93 juta orang daripada 16.91 juta orang pada Julai, manakala kadar penyertaan tenaga buruh pada Ogos kekal 70.1 peratus seperti pada Julai.

Katanya, bilangan penduduk bekerja pada Ogos lepas naik 0.1 peratus kepada 16.35 juta orang berbanding 16.34 juta orang pada Julai.

Mengenai kedudukan guna tenaga, beliau berkata, 75.4 peratus daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja dan kategori berkenaan meningkat 0.1 peratus dengan merekodkan 12.32 juta orang berbanding 12.31 juta orang pada bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, penduduk bekerja sendiri juga mencatatkan kenaikan iaitu 0.3 peratus pada Ogos kepada 2.97 juta orang berbanding 2.96 juta orang pada Julai.

"Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan trend menaik, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; dan pengangkutan dan penyimpanan," katanya.

Menurutnya, sektor pembuatan, pertanian, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada Ogos.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, situasi pengangguran pada Ogos menunjukkan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80 peratus daripada jumlah penganggur.

Katanya, kategori tersebut menurun 0.6 peratus dengan mencatatkan 462,100 orang pada Ogos berbanding 464,700 orang pada Julai.

"Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.4 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun mencatatkan 6.2 peratus," katanya.

Beliau berkata, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif merekodkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus kepada 115,200 orang daripada 114,500 orang pada Julai.

Mohd Uzir berkata, komposisi terbesar bagi luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah atau tanggungjawab keluarga dengan 42.9 peratus, manakala 40.1 peratus disebabkan oleh bersekolah atau latihan.

"Kedudukan pasaran buruh negara dijangka berada dalam pertumbuhan sederhana pada bulan-bulan yang akan datang mengambil kira cabaran dalam ekonomi," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!