MCA sedia bekerjasama dengan DAP
JOHOR BAHRU - MCA sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk DAP terutamanya apabila ia melibatkan isu-isu rakyat.
Menurut Ketua Pemudanya, Ling Tian Soon, isu-isu rakyat sememangnya sentiasa menjadi keutamaan MCA dan diharapkan kerjasama berkenaan akan lebih membantu.
"Kalau isu-isu rakyat yang boleh membantu rakyat dan boleh bawa negara kita ke satu tahap yang lebih berjaya, mengapa tidak?
"Bagi saya, isu rakyat sentiasa diutamakan," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Tambah Tian Soon, dalam era Kerajaan Perpaduan ketika ini, MCA perlu bangkit dan berada bersama dalam barisan kepimpinan kerajaan.
Justeru katanya, MCA juga perlu sentiasa terbuka dan boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja.
"Dulu kita di bawah payung BN; tetapi sekarang di bawah Kerajaan Perpaduan yang sentiasa terbuka dan boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja," katanya.
Sementara itu Tian Soon berkata, jika berlaku rombakan kabinet, MCA akan tetap terus memberikan sokongan kepada Kerajaan.
Malah katanya, MCA juga tidak akan meminta-minta untuk turut berada dalam kabinet.
"Kita (MCA), tak minta, tetapi kita akan tetap terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan untuk reform (bawa pembaharuan) negara kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!